Home Nasional Intan sedia wakaf tanah jika ada hamba Allah sudi bina bangunan jaga...

Intan sedia wakaf tanah jika ada hamba Allah sudi bina bangunan jaga warga emas

Sekitar Program CSR MG Prihatin bersama Pengasas Pusat Jagaan Warga Tua Rufaidah, Intan Salwah Bakri di Kampung Dengkil, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 FEBRUARI 2022.

DENGKIL – “Jika ada mana-mana hamba Allah yang sudi menaja sebuah bangunan khas untuk menjaga warga emas, makcik sanggup memberikan tanah wakaf bagi tujuan murni itu”.

Itu impian pengurus yang juga pemilik Pusat Penjagaan Warga Emas Rufaidah di Taman Jenderam Murni, Intan Salwah Bakri.

Katanya, melangkah ke tahun keenam, pihaknya tidak pernah menerima dari kerajaan, sebaliknya Lembaga Zakat Selangor menghulurkan bantuan bulanan yang mana ia digunakan untuk membayar sewa rumah gan gaji sembilan pekerja.

“Insya-Allah setakat ini tiada masalah, dengan sokongan lima pekerja, tiga staff nurse, seorang pembantu rumah dan seorang lagi caregiver segalanya dimudahkan oleh Allah,” katanya yang juga bekas jururawat kepada MalaysiaGazette.

Beliau menyatakan demikian selepas menerima kunjungan pasukan MG Prihatin hari ini.

Pada kunjungan itu, pasukan MG Prihatin menyerahkan mesin basuh baju dan peti sejuk kepada Intan Salwah.

Terdapat 12 orang menghuni Pusat Penjagaan Warga Emas Rufaidah yang mula beroperasi pada 15 Januari 2017.

Antara penghuni Pusat Jagaan Warga Tua Rufaidah semasa program CSR MG Prihatin di Kampung Dengkil, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 FEBRUARI 2022.

Tambah Intan Salwah, beliau berkhidmat sebagai jururawat selama 30 tahun sebelum membuka pusat penjagaan warga emas itu.

Berbekalkan sokongan suami beliau menaruh mpian untuk memiliki bangunan sendiri yang khusus untuk  penjagaan warga emas.

“Makcik sedia beri tanah wakaf tiga lot yang mencukupi untuk menampung 50 hingga 100 penghuni sekiranya ada hamba Allah sudi menaja (membina) bangunan tetap nanti.

“Entah berapa lama lagi saya ada kekuatan untuk menguruskan pusat ini, namun lepas uruskan bangunan khusus itu (siap) nanti saya boleh menutup mata dengan senyuman puas selama-lamanya dan generasi pelapis muda ada kesanggupan serta boleh meneruskan tugas saya ini,” kata beliau.

Sementara itu, Intan Salwah berkata, Pusat Penjagaan Warga Emas Rufaidah memerlukan katil elektrik baharu berikutan katil sedia ada rosak ekoran banjir pada 18 Disember lalu.

“Kejadian banjir lalu Allah membuka mata saya kepada pelbagai NGO dan insan yang sanggup menghulurkan sumbangan yang saya tak pernah harapkan menyebabkan sangat terharu,” katanya sambil menambah golongan muda perlu dididik untuk menyayangi warga emas.

“Saya puji anak-anak muda (pekerja muda) yang bantu saya di rumah ini kerana mereka sanggup menjaga warga emas dengan penuh kasih sayang tanpa mengharapkan balasan dan saya akan meneruskan khidmat ini sehingga mendapat kepuasan sepenuhnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette