KUALA LUMPUR – Sikap berdiam diri pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan isu melibatkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dan anak taikun Tan Sri Vincent Tan menimbulkan persoalan.
Sebelum ini jika terdapat isu berkaitan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan, merekalah yang akan tampil untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat.
Peguam, Datuk Adnan Seman berkata, dakwaan yang dilemparkan terhadap Tommy kononnya menerima rasuah semasa mengendalikan kes jenayah melibatkan anak lelaki ahli perniagaan terkenal itu adalah satu tuduhan yang berat.
“Saya juga hairan apabila pemimpin-pemimpin PH yang mana kita tahu Tommy dilantik ketika kerajaan PH memerintah, mereka memilih isu untuk membuat bising.
“Bila pendedahan sebegini sangat besar, kerana ia melibatkan pengguguran kes 39B, melibatkan dadah, melibatkan anak kepada taikun, kita hairan mengapa mereka tidak bangitkan isu ini
“Sama juga isu pendedahan mengenai dakwaan terhadap suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (isu menerima wang daripada Jho Low) pun kita tidak nampak banyak desakan pemimpin PH berbanding dengan isu-isu yang melibatkan pemimpin dah ahli-ahli perniagaan yang terkait dengan BN (Barisan Nasional). Jadi kita nak nampak benda itu sangat terpilih,” kata Adnan.
Dakwaan kononnya Tommy menerima rasuah dibuat oleh akaun Twitter Edisi Khas.
Dalam ciapannya, Edisi Khas mendakwa salah seorang anak lelaki Vincent Tan ditahan atas kesalahan dadah pada 2019 tetapi telah ditutup oleh Tommy Thomas.
Menurut Adnan, Peguam Negara, Tan Sri Azhar Idrus harus menyemak semula tindakan yang dibuat oleh Tommy.
Malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menyiasat mengenai dakwaan menerima rasuah terhadap bekas peguam negara itu.
“Memang patut kena ada satu siasatan lengkap daripada SPRM tentang siasatan pasal pendedahan tersebut.
“Sebab walaupun betul Tommy telah buat kenyataan tak ada apa-apa rasuah tapi penurunan kes 39B itu satu benda yang besar sebab dia melibatkan kes dadah.
“Jadi tidak adilah kepada orang lain, orang lain pun disiastan di bawah 39B. Kita tidak ada ekses kepada kertas pertuduhan tu, komen saya, Jabatan Peguam Negara kena semak balik keputusan bekas peguam negara, yang kedua SPRM sepatutnya menyiasatlah kes ini sama ada betul ada ansur rasuah,” kata Adnan ketika dihubungi oleh MalaysiaGazette.
Sementara itu seorang penganalisis politik, Dr. Jamaie Hamil berpendapat, bukan tugas pembangkang untuk membangkitkan isu tersebut.
Sebaliknya pihak kerajaanlah yang harus mengambil tindakan jika berlaku salah laku.
“Bab perundangan itu saya tidak mahir, cuma saya lihat begini, sebab PH itu sudah tidak berkuasa. Kalau mereka sudah tidak berkuasa, kalau pun mereka memberi pandangan ia sebenarnya sudah lagi tidak relevan.
“Sebab sekarang kerajaan yang memerintah itu sudah berubah dua kali, PH, Perikatan Nasional Muhyiddin dan sekarang Perikatan Nasional Ismail Sabri. Jadi kalau pun tindakan dan semakan semula mahu dilakukan itu di bawah pentabiran Kerajaan sekaranglah.
“Saya fikir, mungkin apa yang dilakukan oleh PH (untuk tidak memberi sebarang tindak balas) sekarang adalah untuk tidak menjadikan keadaan semakin kacau dan rumit. Jadi biarlah urusan itu dibuat oleh kerajaan yang ada sekarang,” katanya.
Tommy sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan menerima rasuah untuk menggugurkan kes anak Vincent Tan.
Tommy berkata, selepas tertuduh didakwa, peguam-peguam tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar keputusan pertuduhan dipertimbangkan semula.
“Menerima representasi daripada peguam dan tertuduh dan mengurangkan atau menggugurkan pertuduhan selepas itu adalah perkara biasa dalam AGC.
“Surat-surat ini telah dibawa ke perhatian saya, untuk saya membuat keputusan. Setelah mengkaji representasi dan kertas siasatan (IP), mengkaji peruntukan undang-undang yang berkaitan dan perbincangan dengan pegawai kes (semua timbalan pendakwa raya), saya ingat, saya telah mengurangkan pertuduhan,” katanya.
Menurutnya, memandangkan tidak mempunyai akses kepada sebarang dokumen dan fail yang diselia oleh pihak yang menyediakan kertas siasatan, beliau tidak dapat mengemukakan sebarang perincian lanjut mengenai kes tersebut.
Tommy menegaskan, sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam, beliau tidak pernah memberi atau menerima rasuah kepada sesiapa.- MalaysiaGazette
kesimpulan mudah….MANIFESTO bukan KITAB SUCI….tetapi mereka semuanya SUCI