Home Politik Pejuang tak tamak, tanding 42 DUN sahaja – Tun M

Pejuang tak tamak, tanding 42 DUN sahaja – Tun M

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Aspirasi Johor Parti Pejuang Tanahair di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak tamak dan disebabkan itu parti tersebut hanya meletakkan hanya 42 calon daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya negeri nanti.

Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, parti itu telah mengenal pasti kerusi yang boleh dimenangi iaitu DUN yang didominasi oleh orang Melayu.

“Kita dapati ada kawasan-kawasan yang tidak sesuai dengan Pejuang pasal Pejuang ini parti Melayu. Kalau kawasan itu dominasinya bukan Melayu agak sukar bagi kita.

“Kita tidak hendak tunjuk kita tamak hendak ambil semua. Kita tak tamak. Kita mahu cukup sahaja dan 42 orang cukup. Kalau kita menang separuh pun cukup.

“Jadi itu tujuan kita. Bukan ada 56 kerusi kita pun nak bertanding 56 kerusi. Tapi kalah semua. Buat apa.

“Kita mahu bertanding di mana faktor-faktor tertentu menunjuk bahawa ada kemungkinan kita menang,” katanya pada Pelancaran Aspirasi Johor di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Pejuang akan mengumumkan calon-calon yang bertanding esok di Muar.

Tegas Dr. Mahathir, calon yang akan dikemukakan nanti berkualiti, tidak terlibat dengan rasuah serta tidak berminat untuk mencari kekayaan melalui politik.

“Semua mereka telah akujanji kepada kita iaitu sama ada mereka dipilih jadi calon atau tidak mereka akan sokong parti.

“Jadi mereka masuk dalam parti bukan kerana nak dapat sesuatu tetapi kerana mahu mencari kemenangan bagi parti kerana parti sahaja boleh diri kerajaan dan tunaikan aspirasi,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, Pejuang mempunyai peluang untuk menang pada PRN Johor.

Tegasnya, Pejuang tidak seperti parti pembangkang lain yang bertanding hanya kerana mahu merebut jawatan menteri besar Johor.

“Kami fikir, kami mempunyai peluang yang baik. Tapi pembangkang lain, mereka hanya bertelagah sesama sendiri. Bagi mereka pejuangan di Johor adalah untuk menjadi menteri besar. Bukan nak berikan pentadbiran yang baik. Tidak tetapi mahu jadi menteri besar.

“Ada perbezaan antara kita dengan mereka (parti pembangkang), kita bersendirian tapi kita ada calon yang bagus dan saya fikir kita boleh menyediakan kepimpinan yang diperlukan pada waktu ini di Johor dan Malaysia,” katanya lagi.

Menurut Dr. Mahathir, atas nasihat doktor, beliau tidak akan turun ke Johor untuk berkempen.

Manakala perkara yang akan ditekankan dalam kempen nanti berkaitan melawan rasuah, katanya.

Pejuang juga akan menekankan pemulihan ekonomi melalui pelaburan tempatan berbanding bergantung kepada pelaburan langsung asing.-MalaysiaGazette