Home Ekonomi Pelaburan 1MDB di luar negara tertakluk kepada Akta Kawalan Pertukaran Wang –...

Pelaburan 1MDB di luar negara tertakluk kepada Akta Kawalan Pertukaran Wang – BNM

Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kesemua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk pada syarat-syarat di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 yang telah dikuatkuasakan sebelum tahun 2013 (selepas itu diganti oleh Akta Perkhidmatan Kewangan 2013).

Bank Negara Malaysia berkata, syarat-syarat ini dan kriteria yang mengawal pelaburan tersebut adalah telus dan diterbitkan dalam laman sesawangnya.

Kesemua permohonan yang dihantar oleh 1MDB, termasuk permohonan yang dinyatakan itu  tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman yang digunakan dalam mana-mana permohonan yang dihantar oleh entiti-entiti lain kepada BNM.

Bank Pusat itu memberi kenyataan berkenaan merujuk kepada keterangan saksidalam perbicaraan yang sedang berlangsung di New York berhubung dengan kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1MDB untuk melabur di luar negara pada tahun 2009.

Mengulas laporan terdahulu mengenai maklumat yang diterima daripada unit perisikan kewangan (FIU) asing yang berkaitan dengan akaun milik suami kepada bekas Gabenor, BNM berkata, ia telah memberikan maklumat kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan pada bulan April 2016 selaras dengan tanggungjawab BNM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette