Home Politik Tindakan MUDA letak calon di Larkin jejaskan kerjasama pembangkang

Tindakan MUDA letak calon di Larkin jejaskan kerjasama pembangkang

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

MUAR – Tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), meletakan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin mendapat tentangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, langkah canggung itu ternyata menjejaskan kerjasama dan usaha muafakat penyatuan parti pembangkang.

“MUDA yang pada awalnya sudah ditawarkan tiga kerusi oleh PKR dan beberapa kerusi yang lain oleh DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) perlu menghormati rakan dan runding sebaik-baiknya sebelum proses pemilihan calon diadakan.

“Jika MUDA terus berlagak sebagai abang besar seperti ini, maka tiada faedah dan manfaat kerjasama ini dibincangkan serta mereka sebaik-baiknya memilih jalan yang sama seperti Pejuang dan Warisan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PKR dan MUDA hari ini sah bertembung di DUN Larkin apabila parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan Ketua Penerangan MUDA Johor, Rasid Abu Bakar sebagai calon mereka.

PKR sebelum ini mengumumkan Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka.

Dalam pada itu, Farhash berkata, sikap sombong MUDA itu bukan sahaja boleh menjejaskan keharmonian kerjasama politik, malah konteks yang lebih luas untuk kita pertimbangkan adalah perasaan akar umbi dan kemungkinan akan berlaku menjelang hari pengundian.

“Ruang dan peluang masih terhidang buat PKR untuk berbincang semula bersama-sama Amanah dan DAP bagi meletakkan calon di kerusi-kerusi yang sudah diberikan kepada Muda terutamanya N41 Puteri Wangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette