Home Nasional Kontak rapat ada dos penggalak tidak perlu kuarantin – Khairy

Kontak rapat ada dos penggalak tidak perlu kuarantin – Khairy

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kontak rapat bagi kes positif Covid-19 yang telah menerima dos penggalak dan tidak mempunyai gejala tidak perlu menjalani kuarantin mulai 1 Mac ini.

Sebaliknya menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kontak rapat berkenaan perlu melakukan ujian kendiri (RTK) pada hari pertama dan ketiga selepas terdedah dengan kes positif.

“Sekiranya ujian kendiri positif, keputusannya mesti dilapor di MySejahtera dan kuarantin sekiranya tidak pada hari pertama dan ketiga boleh teruskan dengan urusan seperti biasa,” katanya pada sidang media, hari ini.

Namun katanya, bagi kontak rapat yang tidak mempunyai dos penggalak atau tidak lengkap vaksinasi perlu menjalani kuarantin seperti yang telah ditetapkan.

Sementara itu, kata Khairy, kontak rapat yang telah menerima dos penggalak namun bergejala perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

Bagi individu yang lengkap dos vaksin dan belum menerima dos penggalak, pula perlu menjalani kuarantin dalam tempoh lima hari, ujarnya.

Pada minggu lalu, Khairy mengumumkan tiada kuarantin untuk kakitangan kesihatan yang menjadi kontak rapat.

Jelasnya, protokol baharu itu dilaksanakan selepas menilai peningkatan kontak rapat sejak kebelakangan ini yang dilihat menjejaskan pengurusan kerja.

Berdasarkan prosedur sebelum ini, individu yang didapati menjadi kontak rapat dan belum lengkap vaksinasi, termasuk tiada suntikan dos penggalak diarahkan menjalani isolasi atau pengasingan untuk tempoh tujuh hari. – MalaysiaGazette