KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak kepada individu yang menerima vaksin jenis Sinovac sehingga 31 Mac ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebelum ini pihaknya memutuskan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menerima vaksin jenis Sinovac perlu mendapatkan dos penggalak sebelum 28 Februari ini sebelum status vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera dinyatakan sebagai tidak lengkap.
“Penerima vaksin Sinovac yang berusia 60 tahun ke atas perlu dapatkan dos penggalak jadi status dalam MySejahtera jadi lengkap. Tempoh masa sebelum ini kita beri sehingga 28 Februari, namun kita lanjutkan sehingga 31 Mac ini bagi memudahkan mereka mendapatkan dos penggalak berkenaan.
“Jadi bermula 1 April ini, sekiranya mereka masih belum mendapatkan dos penggalak berkenaan status vaksinasi lengkap golongan ini akan ditukar sebagai tidak lengkap dalam MySejahtera,” katanya pada sidang media, pada hari ini.
Sementara itu, katanya, vaksin yang hampir tamat luput akan disumbangkan kepada negara-negara yang memerlukan.
“Kita terima cadangan farmasi kita beri sumbangan vaksin yang akan luput beberapa bulan ke hadapan.
“Kita tidak pernah buang vaksin-vaksin, tidak perlu buang semua sebelum tarikh luput, sekiranya perlu kita buat sumbangan dengan negara luar,” tambah Khairy.
Ujarnya, sebelum ini kerajaan telah menyumbangkan vaksin yang hampir luput kepada Bangladesh dan Laos. – MalaysiaGazette