Home Pendapat Gagal kuasai 3M: Cabaran pendidikan anak-anak

Gagal kuasai 3M: Cabaran pendidikan anak-anak

Gambar hiasan

SESI persekolahan 2021 akan melabuhkan tirainya yang berakhir Khamis dan Jumaat ini bagi sebahagian negeri yang lainnya. Para pelajar tentunya berasa seronok kerana cuti persekolahan bakal bermula. Tidak terkecuali, para pendidik turut merasakan kegembiraan itu. Namun, tidak semuanya apatah lagi ibu bapa. Ia adalah satu cabaran besar memandangkan anak-anak akan ada di rumah, sedangkan mereka perlu keluar bekerja.

Realitinya bukan itu sahaja yang menjadi kegusaran para ibu bapa. Apa tidaknya, walaupun anaknya bakal atau sudah naik darjah 2, tetapi masih ada yang belum menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Alasan yang ketara yang dirasakan serata dunia adalah disebabkan pandemik yang melanda.

Pada Disember 2021 sebagaimana dilaporkan media, sebanyak 20 peratus daripada 131,281 murid tahap satu di negeri Johor didapati gagal menguasai kemahiran 3M. Itu baru saja di negeri Johor. Bagaimana di negeri lain?

Bukan bahan pertandingan

Sebagaimana kata Pengarah Pendidikan di Yayasan Pendidikan Khalifah, Ustaz Hasrizal Abd Jamil, tiada sistem pendidikan yang terbaik sebenarnya. ”Sebab sistem pendidikan bukan bahan pertandingan. Walaupun Programme International Student Assessment (PISA) kata sistem Finland bagus, Finland buat sistem bukan kerana PISA”.
Akan tetapi ujarnya, mereka buat apa yang betul berdasarkan ilmu untuk semua rakyatnya.

”Polisi kerajaan ialah sekolah terbaik hendaklah sekolah paling dekat dengan rumah. Semua sekolah sama beruntung, sama lengkap, kampung atau bandar”. Jadi bagaimana sebenarnya sistem pendidikan di negara ini? Mampukah ia mengembalikan pelajar-pelajar agar dapat menguasai 3M itu setelah naik ke darjah 2 dan seterusnya nanti?

Hasrizal yang juga seorang pendidik, penyokong pendidikan berpusatkan kanak-kanak, keibubapaan dan dasar domestik berkata, jangan tiru kurikulum Finland, tapi tirulah cara Finland buat kerja. ”(Caranya) iaitu VIP dalam sistem pendidikan Finland ialah murid-murid dan keperluan mereka, bukannya menteri, pengarah-pengarah, orang politik dan bisnes,” tegasnya.

Beliau berkata, dari menteri sampailah guru dan kakitangan sokongan sekolah, semuanya bekerja untuk membantu murid belajar dan berjaya. ”Bukan sekolah berjaya, pengetua berjaya, orang politik berjaya atau orang bisnes beruntung”. Selain itu, Hasrizal menyatakan agar perlu diubah cara berfikir tentang pendidikan bahawa ia berkhidmat untuk apa dan siapa.

Akses penuh kepada pendidikan

Apabila memperkatakan tentang kewajipan anak untuk mendapat pendidikan, ditegaskan bahawa ia adalah salah satu hak asasinya sebagai seorang manusia. Ia mula belajar dari saat dilahirkan dengan memberinya penjagaan khas, sehingga ke peringkat pendidikan yang berbeza.

Pendidikan adalah salah satu hak asasi kanak-kanak yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak yang ditubuhkan oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan ia adalah asas seperti hak untuk mendapatkan makanan dan penjagaan kanak-kanak yang selesa.

Kanak-kanak itu dilayan dengan sebaiknya, sebagaimana Piagam PBB menyatakan, sejak lahir sehingga umur 18 tahun. Pada peringkat itu, kanak-kanak hendaklah mendapat pendidikan yang baik dan negara tempat ia tinggal menjamin mereka mendapat tempat yang baik di sekolah. Hak ini dijamin sehingga kanak-kanak itu mampu belajar membaca dan menulis serta memperoleh pendidikan asas yang melayakkannya untuk mendaftar di sekolah menengah seterusnya ke peringkat menengah.

Antara hak yang paling penting yang ditekankan oleh konvensyen antarabangsa ialah mewajibkan pendidikan rendah dan tersedia secara percuma kepada semua, menggalakkan pembangunan pelbagai bentuk pendidikan menengah, sama ada am atau vokasional, menjadikannya tersedia dan menyediakannya kepada semua kanak-kanak dan mengambil langkah yang sewajarnya seperti memperkenalkan pendidikan percuma dan menyediakan bantuan kewangan apabila diperlukan. Mengambil langkah untuk menggalakkan kehadiran ke sekolah dan mengurangkan kadar keciciran, maka adalah perlu untuk memastikan sistem di sekolah diuruskan secara konsisten dengan keperluan kemanusiaan kanak-kanak, yang juga pelajar.

Pendidikan hak anak

Hak untuk mendapat pendidikan dianggap sebagai salah satu hak terpenting yang sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam kitabnya. Ibnu al-Qayyim rahimahullah berkata dalam kitabnya Tuhfat al-Mawdud: ”Sesiapa yang mengabaikan didikan anaknya yang memberi manfaat kepadanya dan meninggalkannya dengan sia-sia, sesungguhnya dia telah berbuat jahat kepadanya, bapa-bapa mereka sudah tua, dan betapa banyaknya seorang bapa yang merampas kebaikan dunia dan akhirat anaknya serta mendedahkannya kepada kebinasaan dunia dan akhirat”.

Selain itu, beberapa negara menjamin hak kanak-kanak kurang upaya untuk mendapat akses penuh kepada pendidikan seperti kanak-kanak lain, dan terdapat Piagam UNESCO yang menekankan perkara ini. Berkemungkinan besar, orang kurang upaya tidak mendaftar di sekolah atau telah meninggalkan sekolah sebelum menamatkan pendidikan rendah atau menengah.

Perkara 24 Konvensyen PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya menyatakan bahawa setiap negara perlu mengambil langkah untuk memastikan bahawa orang kurang upaya mempunyai akses kepada pendidikan asas. Begitu juga di peringkat menengah yang bersifat inklusif dan percuma atas dasar sama rata dengan orang lain dalam masyarakat di mana mereka tinggal.

Memandangkan UNESCO mengikuti pendekatan berasaskan hak, ia menggalakkan pembangunan dan pelaksanaan dasar, program dan amalan pendidikan inklusif untuk memastikan peluang pendidikan yang sama untuk orang kurang upaya. Justeru, ibu bapa perlulah melunasi tanggungjawab mereka dengan mendidiknya dengan memberikannya tempat pendidikan yang baik bagi anak-anak mereka mendapatkan pengetahuan.

Peranan yang besar

Dalam pada itu, ibu bapa dan keluarga mempunyai peranan yang besar dengan membenarkan mereka menyatakan pendapat mereka dalam proses mengubah kurikulum serta menilainya mengikut kesesuaian. Pihak kerajaan seharusnya menggalakkan mereka berbuat demikian kerana ini amat penting untuk meningkatkan keperibadian anak-anak mereka ke arah yang lebih baik.

Seorang bapa yang memahami boleh menyokong anaknya dan memberinya keyakinan diri, menjadikannya bergerak maju ke hadapan dalam kehidupan sepenuhnya tanpa rasa takut atau ragu-ragu. Tanpa ilmu, seseorang itu tiada hala tuju dan sesat, bergantung kepada orang lain untuk membawa manfaatnya dan menjauhkan apa yang memudaratkan dirinya.
Sebagaimana antara surah awal yang diturunkan pembukaannya dengan bahagian dalam al-Quran ialah Surah al-Qalam, Allah SWT berfirman: ”Dan demi qalam (pena) dan apa yang mereka tulis”.

Perintah membaca itu menunjukkan wajibnya, dan bersumpah dengan qalam, adalah tanda kemuliaan, keagungan dan kepentingan ilmu. Bukan itu sahaja, Islam menggesa ilmu dan belajar serta memerintahkannya sejak awal al-Quran diturunkan.
1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,
2. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
3. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,
4. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam,
5. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
(Surah al-Alaq: 1-5)

Oleh itu, apabila guru-guru dan keluarga bertemu, mereka mencapai keharmonian psikologi dan sosial untuk kanak-kanak itu dan memberikannya hak untuk mendapat pendidikan. Jadi, bagaimana sebenarnya sistem pendidikan di negara ini? Mampukah ia mengembalikan murid-murid agar dapat menguasai 3M itu setelah naik ke darjah 2 dan seterusnya nanti?

Atriza Umar
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia