SEMERAH – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa pihak-pihak yang berkenaan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memudahkan calon-calon yang bertanding memperkenalkan diri kepada pengundi.
Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, tidak ada gunanya jika mengadakan pilihn raya sekiranya calon yang dipilih tidak dapat dikenali secara dekat oleh pengundi di tempat masing-masing.
Katanya, tempoh masa yang singkat untuk mengadakan ceramah dengan kebenaran hanya sehingga pukul 10 malam amat sukar untuk calon mengenengahkan diri, selain banyak perkara tidak dapat disampaikan kepada umum.
“Ceramah malam ni, orang sembahyang Isyak dulu…orang nak berhimpun pun kalau ikut pengalaman saya dulu-dulu (ketika menjadi ahli Parlimen Pasir Mas) bila nak ceramah paling cepat boleh kita mulakan pukul 9.30 malam.
“Kalau pukul 9.30 baru nak mula (ceramah) pukul 10 dah nak kena tamat, ni nak ceramah apa. Patutnya diizinkan sampai pukul 12. Apa beza dari pukul 10 hingga 12?,” katanya pada sidang media selepas sesi pengenalan calon Putra bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di sini, hari ini.
Ibrahim menyifatkan, apa yang berlaku sebagai satu permainan “silap mata” yang tidak adil, zalim dan merupakan penindasan.
Beliau mendakwa, ia merupakan penyalahgunaan kuasa dengan pihak yang berkuasa mendapat keuntungan berbandimg parti yang bukan daripada komponen dalam kerajaan.
Tambahnya, beliau berharap agar SOP lebih longgar dapat dilaksanakan untuk memudahkan semua pihak.
“Sebab kalau yang bertanding itu parti-parti besar mereka (penguatkuasa) tidak akan ambil tindakan, paling-paling hantar saman RM1,000. Mereka itu sama sejuta pun boleh bayar, mereka banyak duit. Berapa banyak saman pun boleh dibayar…kita macam mana,” ujarnya.
Menurut Ibrahim lagi, disebabkan SOP yang ketat juga merupakan antara punca Putra hanya meletakkan satu calon untuk bertanding pada PRN di Johor.
Katanya, meskipun hanya satu kerusi yang dipertandingkan urusan untuk mengadakan ceramah bagi memperkenalkan calon menjai sukar disebabkan SOP tersebut.
“Tapi kalau boleh ceramah umum macam biasa Insya Allah, dalam DUN Semerah ni dua ceramah pun cukup dah…ceramah umum dan terbuka, boleh hadir 2,000 hingga 3,000 orang, baru kita boleh bertanding banyak kerusi,” tambahnya. – MalaysiaGazette