Home Seni Hidup Keluarga di Kelantan masih belum tatap wajah Bilal – Kartini

Keluarga di Kelantan masih belum tatap wajah Bilal – Kartini

KUALA LUMPUR – Pengacara dan usahawan Neelofa selamat melahirkan cahaya mata pada 29 Januari lalu.

Hampir sebulan berpantang, ibunya iaitu Datin Noor Kartini memaklumkan ahli keluarganya di Kelantan masih belum memiliki gambar cucunya, Muhammad Bilal Muhammad Haris.

Mengakui Neelofa belum bersedia mendedahkan wajah Bilal, namun Noor Kartini berkata, beliau menghormati keputusan anaknya.

“Saya menghormati privasi Neelofa dan langsung tidak bertanya kepadanya berkenaan perkongsian wajah anaknya, malah ahli keluarga di Kelantan juga tidak ada gambar Bilal.

“Neelofa kini sedang berpantang di rumahnya sendiri dan setiap hari dia akan menghantar gambar Bilal, namun ia bukanlah untuk dikongsi kepada umum,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Disney x Naelofar The Little Mermaid baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kartini berkata, Neelofa membuat keputusan untuk berpantang di kediamannya.

Namun ujarnya, setiap hari dia akan datang untuk melihat anak dan cucunya dengan meluangkan masa selama beberapa jam.

“Alhamdulillah, Bilal seorang cucu yang tidak banyak meragam dan mudah dijaga. Namun, saya akan selalu berpesan kepada Neelofa perkara-perkara yang penting ketika berpantang.

“Lagipun Neelofa juga sudah ada pengalaman menjaga anak saudaranya sebelum ini. Cuma, ia pastinya berbeza apabila menjaga anak sendiri,”katanya lagi.

Neelofa dan Haris atau PU Riz mendirikan rumah tangga pada 27 Mac tahun lalu dan mereka selamat menimang cahaya mata pertama 29 Januari lalu.-MalaysiaGazette