Home Nasional Lelaki tinggalkan motosikal atas Jambatan P.Pinang sebelum terjun

Lelaki tinggalkan motosikal atas Jambatan P.Pinang sebelum terjun

Mayat Raphael dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

GEORGE TOWN – Mayat lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang ditemui lemas berhampiran sangkar ikan di perairan Pulau Jerejak, di sini, hari ini.

Mangsa N. Raphael, 34, ditemui dalam keadaan terapung oleh nelayan pantai pada jam 9.45 pagi.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat memaklumkan ada individu dipercayai terjun Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 6.1 arah pulau menghala ke Perai pada jam 11.50 malam semalam.

Abd Razak.

Jelas beliau, mangsa dikatakan meninggalkan motosikalnya jenis Honda EX-5 di atas jambatan tersebut sebelum bertindak terjun.

“Bertindak atas maklumat itu, APMM menerusi Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dengan mengatur gerak Bot Kilat 26 dan aset agensi yang terbabit ke lokasi.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung.

“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang sebaik ahli keluarga melakukan pengecaman,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Turut sama dalam operasi berkenaan ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

Operasi tamat pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Dalam masa sama, Abd Razak menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil langkah terburu-buru sekiranya menghadapi masalah dan merujuk kepada pihak yang sewajarnya bagi mencari penyelesaian.

Sebarang maklumat salah laku jenayah maritim atau kecemasan boleh hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang talian hotline 04 262 6146 atau MERS 999. – MalaysiaGazette