Home Politik DUN Layang-Layang: Tak nampak kelibat calon bebas

DUN Layang-Layang: Tak nampak kelibat calon bebas

SIMPANG RENGGAM – Semua calon-calon dari empat parti yang sebelum ini telah membuat pengumuman akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Layang-Layang sudah hadir ke pusat penamaan calon di sini hari ini.

Calon terakhir yang tiba, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepenggal DUN Layang-Layang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Ab Mutalip Abd Rahim tiba sekitar jam 9 pagi tadi.

Setakat ini, MalaysiaGazette yang sudah tiba ke lokasi penamaan calon bertempat di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam tidak nampak mana-mana kelibat calon bebas setakat ini.

Turut dimaklumkan sebentar tadi, proses penamaan calon antara 9 pagi hingga 10 pagi sahaja.

Calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik merupakan calon pertama yang hadir berbaju Melayu bersama-sama seorang penyokong dan pencadang.

Ketika ini SPR telah memaklumkan larangan sebarang perarakan penyokong seperti kebiasaan tidak dibenarkan malah sebentar tadi walaupun ada beberapa kenderaan dinaiki penyokong dengan kibaran bendera parti, polis melarang kehadiran mereka.

SPR telah menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac ini. – MalaysiaGazette