Home Nasional Kerajaan N. Sembilan peruntuk RM4 juta baiki bangunan, Rumah Warisan

Kerajaan N. Sembilan peruntuk RM4 juta baiki bangunan, Rumah Warisan

Aminuddin Harun Negeri Sembilan Menteri Besar Covid-19 positive MB
Aminuddin Harun

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM4 juta untuk membaiki bangunan dan rumah warisan di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif Projek Bangunan dan Rumah Warisan Negeri diperkenalkan pada tahun lepas bertujuan membaiki binaan bangunan dan rumah yang mempunyai nilai sejarah tinggi di negeri ini.

“Sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan pada tahun lalu dan peruntukan sebanyak RM1 juta pada tahun ini bagi merealisasikan projek tersebut.

“Setakat ini, sebanyak tiga rumah dan dua masjid dibaik pulih iaitu Masjid Warisan Kampung Terusan di Kuala Pilah, Masjid Warisan Kampung Kuala Serdang (Kuala Pilah), Rumah Warisan Puan Norami (Rembau), Rumah Warisan Puan Norlida (Kuala Pilah) dan Rumah Warisan Puan Jalilah di (Jelebu),” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya di sini.

Beliau berkata, projek berkenaan turut melibatkan pakar-pakar daripada Politeknik Port Dickson bagi memastikan keaslian binaan.

Beliau berkata, pihak kontraktor yang terlibat dengan proses pembaikan juga menggunakan kaedah sama seperti yang digunakan tukang pada zaman dahulu bagi memastikan keaslian bangunan-bangunan tersebut. – Bernama