Home Utama Hasni berdepan pengalaman pertama empat penjuru

Hasni berdepan pengalaman pertama empat penjuru

Calon Barisan Nasional (BN) N.53 Benut, Datuk Hasni Mohammad ketika hadir bagi menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Serbaguna Benut, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2022.

PONTIAN – Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyifatkan persaingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan pengalaman pertama buatnya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan penyandang kerusi DUN itu berkata, jumlah calon tersebut merupakan paling ramai sejak beliau bertanding tiga penggal lalu.

”Saya akan bertanding bersama tiga calon lain dan ini adalah pengalaman bilangan calon ramai di N53 Benut.

”Berdasarkan suasana penamaan calon BN hari ini di tempat lain, terdapat antara tiga hingga empat penjuru proses demokrasi lancar dan mesra antara calon.

”Bagi yang bertanding dalam tempoh dua minggu ini saya harap kita patuh SOP (prosedur operasi standard) dalam siri kempen dan BN juga sudah atur gerak kerja.

”Saya percaya tiada parti hendak sekat parti lain bertanding dan tiada bantahan dibuat serta akan bertanding secara sihat.

“Apa yang saya lihat parti lain sambut baik SOP yang beri ruang dan peluang untuk berjumpa pengundi dan berkempan,” katanya ketika ditemui media selepas selesai proses penamaan DUN Benut di Dewan Serbaguna Benut di sini hari ini.

Hasni akan berdepan pertandingan empat penjuru apabila ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Isa Ab Hamid, selain calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Iskandar Noor Ibrahim dan Calon PKR, Haniff@Ghazli Osman.

Isa ialah wakil dari kalangan masyarakat Orang Asli di Dewan Negara.

Pengumuman pencalonan keempat-empat calon berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus (RO) Pilihan Raya DUN Benut, Mohd Rafi Abdullah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kerusi DUN itu dimenangi Hasni dengan 9,480 undi, berbanding calon Zulkifly Tasrep (PKR) meraih 5,033 undi, manakala Mohd Firdaus Jaafar (PAS) mendapat 2,590 undi. Hasni menang dengan majoriti 4,447 undi.

Tarikh mengundi bagi PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac dengan undi awal pada 8 Mac.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu. – MalaysiaGazette