KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) kecewa kerana ada pandangan serong dari sesetengah pihak yang beranggapan kesatuan sekerja di Malaysia sengaja mendesak majikan supaya kenaikan gaji minimum dilaksanakan sehingga mahu membebankan majikan, tidak kira swasta mahupun awam.
Lebih-lebih lagi, tuntutan kesatuan sekerja dipandang hina dan dikecam teruk, kata presidennya, Datuk Mohamed Shafie Mammal.
Bagaimanapun UNI-MLC juga terkilan kerana masih ada pihak yang melaung-laungkan Malaysia mahu menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, tetapi para pekerja masih berada dalam lingkungan kadar kemiskinan.
Kepentingan dan hak para pekerja tidak diambil peduli, dan sama sekali tidak diperjuangkan.
Menurutnya, kadar gaji minimum RM1,200 pada masa sekarang menunjukkan pekerja-pekerja di Malaysia berada dalam garis kemiskinan.
”Jadi kita perlu tanya, apakah kadar gaji minimum pada hari ini mencukupi? Sama ada kita suka atau tidak, kita kena mengakui bahawa majoriti pekerja yang menerima gaji minimum RM1,200 atau AS$300 berada dalam garis kemiskinan B40.
”Apa gunanya kita ada slogan “kita akan membantu golongan B40”, “Keluarga Malaysia” dan “No One Left Behind” tetapi kita tidak mampu mengatasi dan menangani isu gaji minimum RM1,500 sebulan?,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohamed Shafie berkata, pada masa yang sama, pihaknya juga terkilan dengan harga barangan yang melambung naik kebelakangan ini sehingga menambah derita ke atas para pekerja.
Dakwanya, kerajaan pula seolah-olah tiada kuasa kecuali dalam beberapa kategori barangan yang diletakkan sebagai barangan kawalan.
Kuasa membeli para pekerja menjadi semakin kecil ketika harga barang naik secara mendadak dan kerajaan seolah-olah lemah dan tidak boleh mengawal kenaikan harga barangan secara sewenang-wenangnya.
UNI-MLC tidak menafikan bahawa turun naik harga barang ditentukan atau dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan.
Namun, kerajaan perlu memastikan bahawa harga barang dipantau dan dikuatkuasakan peraturan sepanjang masa supaya harga barang tidak mengalami kenaikan tanpa kawalan memandangkan kerajaan tiada kuasa dalam menentukan harga barang, pekerja pula berhadapan dengan kesan buruk.
”Bertolak dari itu, di manakah terletaknya tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dan pihak majikan yang sepatutnya menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja? Pasukan pengurusan tertinggi ditawarkan gaji dan kemudahan-kemudahan yang lebih baik berbanding kadar gaji pekerja-pekerja bawahan.
”Pekerja tidak mempertikaikan gaji lumayan kepada pengurusan. Dan, pada masa yang sama, pekerja juga tidak membuat tuntutan sewenang-wenangnya.
”Malangnya, apabila kesatuan sekerja meminta supaya gaji minimum dinaikkan hanya RM300, pihak majikan meletakkan pelbagai hujah bahawa banyak syarikat akan ditutup, bakal muflis dan sebagainya. Sampai bilakah kita hendak menggunakan alasan ini?,” soalnya.
Dakwa beliau, tiada pembaharuan atau pendekatan luar kotak di pihak majikan dalam menaikkan gaji para pekerja dan menambah baik kemudahan untuk pekerja.
Malah, UNI-MLC juga terkejut tidak banyak syarikat atau majikan yang sanggup mengamalkan pendekatan sukarela sebagaimana dipraktikkan oleh AEON Co. Malaysia, yang telah melaksanakan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa Januari 2022, iaitu lebih awal sebelum dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan.
Sedangkan, syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) perlu mengambil tindakan rintis dengan melaksanakan gaji minimum RM1,500 dengan serta-merta.
Sehubungan itu, UNI-MLC juga mahu sidang Parlimen yang akan bersidang mulai Isnin ini, 28 Februari 2022, membuat satu pendirian atau resolusi bersama, yang memihak kepada kepentingan pekerja, iaitu bersetuju menaikkan gaji minimum dan melaksanakan gaji minimum RM1,500.
Sebagai badan yang anggotanya dipilih oleh rakyat, Parlimen merupakan tempat pekerja bergantung, justeru sidang Parlimen kali ini harus memutuskan ketetapan pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
Harapan UNI-MLC, jangan memandang hina tuntutan kesatuan yang meminta agar gaji minimum ditetapkan pada kadar RM1,500, meskipun pada pandangan kami RM1,500 juga masih jauh lebih rendah dan kecil mengambil kira kos sara hidup dan kadar inflasi pada hari ini. – MalaysiaGazette