MERSING – Pilihan Raya Negeri Johor kali ini menyaksikan pertembungan lima penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada hari mengundi 12 Mac nanti.
Calon Barisan Nasional iaitu Ketua UMNO Bahagian Mersing Mohd Youzaimi Md Yusof akan berdepan calon Perikatan Nasional daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Alwiyah Talib yang juga penyandang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, calon Parti Pejuang Noorhisyam Ibrahim, calon Pakatan Harapan iaitu Mohamad Fakrulradzi Mahmud dan calon Bebas Ismail Don.
DUN Endau juga bakal mencuri tumpuan apabila menyaksikan saingan sengit antara Mohd Youzaimi dan Alwiyah walaupun mereka berdua akan dicabar oleh tiga lagi calon lain.
Proses penamaan calon berlangsung selama sejam bermula 9 pagi tadi berakhir pada 10 pagi tadi selepas Pengawai Pengurus Pilihan Raya DUN Endau,Muhammad Shahril Abd Gapar mengesahkan pihaknya hanya menerima kertas penamaan daripada lima calon bertanding pagi tadi.
“Tiada kertas pencalonan yang ditolak oleh SPR dan kesemua kertas pencalonan yang dicadang dan disokong wakil calon telah diterima sepenuhnya iaitu Mohd Youzaimi (9.04pagi), Noorhisyam (9.08 pagi), Ismail Don (9.13 pagi), Alwiyah (9.14 paagi) dan akhirnya Fakrulradzi (9.17 pagi),” katanya di Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna Endau, Majlis Daerah Mersing di sini pagi tadi.
Sebelum ini, kerusi Endau telah disandang oleh Alwiyah selepas menang dengan majoriti 3,080 undi membabitkan pertembungan tiga penjuru pada PRU-14 lalu.
Namun, kerusi itu mencetuskan kontroversi selepas Alwiyah melompat parti dari BN dan menyertai Bersatu.
BN kali ini menurunkan Mohd Youzaimi untuk merampas semula kerusi tersebut.
Proses penamaan calon di DUN Endau berjalan lancar dengan pematuhan prosedur (SOP) yang cukup ketat. – MalaysiaGazette