Home Politik Saya berjiwa besar, kembali pada akar umbi apabila diperlukan – Calon BN...

Saya berjiwa besar, kembali pada akar umbi apabila diperlukan – Calon BN Layang-Layang

Calon BN N27 DUN Layang-Layang, Datuk Ab Mutalip.

SIMPANG RENGGAM – Calon Barisan Nasional N27 DUN Layang-Layang, Datuk Ab Mutalip Abd Rahim bukanlah wajah asing dalam dunia politik kerana beliau adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan sejak 2013 sehingga 2018.

Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum ke-14, nama beliau tidak tercalon sebaliknya Barisan Nasional mencalonkan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menang tipis dengan majoriti 364 undi menewaskan M. Murugan mewakili Pakatan Harapan dan Mohd Jubri Selamat (PAS).

Namun apabila kembali tercalon di kerusi yang sebelum ini menjadi tempat beliau mencurahkan bakti kepada penduduk setempat, Ab Mutalip meluahkan rasa syukur dengan keputusan pucuk tertinggi kali ini.

“Soal calon mana dipindahkan atau tidak tercalon, semua itu terpulang kepada pucuk pimpinan tertinggi. Tidak ada isu sebenarnya.

“Saya ditempatkan kembali ke DUN Layang-Layang kerana saya pernah berkhidmat di sini dan sekali lagi perkhidmatan saya untuk menjadi suara kepada rakyat di tempat ini, itu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Simpang Renggam hari ini.

Ab Mutalip juga menafikan sebarang spekulasi dan desas desus penyandang terdahulu, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang kini bertanding di DUN Machap lari ke kerusi lain.

“Tidak, tidak ada isu lari ke tempat lain. Bukan betul, semua keputusan pucuk pimpinan tertinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, wakil rakyat itu kelihatan begitu teruja apabila ditanya tentang agenda serta hala tujunya.

Kata Ab Mutalip, beliau akan memberi keutamaan kepada isu-isu berkaitan perumahan serta pekerjaan yang sudah tertangguh sejak BN tewas pada 2018.

“Bagi kepesatan ekonomi di Simpang Renggam ini, maka kita kena pastikan adanya sektor perumahan. Apabila ada sektor perumahan pastinya ada sektor industri seterusnya berkembang kepada sektor lain.

“Ada banyak juga kerja tertangguh, saya akan sambung balik semuanya. Soal masyarakat setempat pula, masing-masing sudah lama mengenali saya malah saya tidak pernah berhenti berkhidmat jadi pengundi kenal siapa pemimpin mereka,” tegasnya.

Kerusi DUN Layang-Layang akan menyaksikan empat pertembungan antara Ab Mutalib (BN), Maslzee Malik (PH), K Alagathiran (PN) dan Ahmad Shafiq Othaman (Pejuang).

PRN Johor Layang-Layang
Pertembungan empat penjuru di DUN Layang-Layang pada PRN Johor kali ini.

Pada 23 Januari, SPR secara rasmi menerima notis daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14.

Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang iaitu PH, berikutan kematian Adun Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Seterusnya, pada 9 Februari lalu SPR menetapkan 12 Mac tarikh pengundian bagi PRN Johor dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

PRN Johor juga bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru di 42 daripada 56 DUN dengan rata-ratanya ditandingi oleh pemimpin dari parti-parti gergasi dan popular dengan masing-masing menampilkan pemimpin dari pelbagai kriteria terutamanya dari generasi muda.

Pengundi Johor kini meningkat kepada 2.5 juta berbanding 1.8 juta pada PRU-14 dengan kira-kira 28 peratusnya atau 749,731 pengundi berusia 18 tahun yang buat pertama kalinya akan keluar mengundi. – MalaysiaGazette