Home Politik Hilang ‘ummph’ umum calon menteri besar terlalu awal – Sahruddin

Hilang ‘ummph’ umum calon menteri besar terlalu awal – Sahruddin

Calon Perikatan Nasional (PN) N.07 Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal hadir pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di IKTBN Pagoh, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.
Calon Perikatan Nasional (PN) N.07 Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal hadir pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di IKTBN Pagoh, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.

PAGOH – Langkah Perikatan Nasional (PN) untuk tidak mengikut jejak Barisan Nasional (BN) yang tekad menamakan calon Menteri Besarnya merupakan salah satu daripada strategi gabungan itu.

Setiausaha Badan Perhubungan PN Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal beralasan, pendekatan berbeza diambil PN bagi memastikan gabungan itu terus fokus untuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.

“Setiap parti ada strategi masing-masing jadi kalau kita terus beritahu dan umumkan poster boy dan calon Menteri Besar sekian individu, jadi ‘ummph’ itu tidak ada.

“Kita akan beritahu secara berperingkat-peringkat. Kita ada tempoh dua minggu jadi setiap individu yang jadi calon dalam PN, dia kena bekerja keras untuk menangkan parti di kawasan masing-masing. Lepas dua minggu kita akan dedahkan sedikit mengenai manifesto dan calon MB kita.

“Itu salah satu strategi kita dan tidak mahu semua satu kali kita umumkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sehingga laporan ini ditulis PN masih belum memuktamadkan calon Menteri Besarnya berbanding BN-UMNO yang menamakan Datuk Hasni Mohamad sebagai calon tunggal Menteri Besar Johor sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

Perkara itu disuarakan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pelancaran Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pusat Operasi Zon Barat awal bulan ini.

Dalam pada itu, Sahruddin berkata, menamakan calon menteri besar adalah amat penting namun gabungan itu mengambil langkah berhati-hati dalam mencalonkan mana-mana individu agar langkah mensabotaj calon tidak digerakkan mana-mana pihak.

“Sebetulnya calon menteri besar juga penting, tetapi kita sangat berhati. Contohnya kalau sebelum penamaan calon kita sudah umumkan calon menteri besar dan ‘poster boy‘ kita, tapi tiba-tiba waktu pencalonan dia terbatal secara automatik, itu akan memalukan parti.

“Jadi pandangan kita bahawa kita buat secara berperingkat iaitu dari awal lagi umphh itu hingga akhir,” katanya.

Sahruddin turut berkata semua poster kempen di PRN Johor akan menggunakan wajah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘poster boy’.

Oleh itu, gabungan itu tidak perlu mencanang siapa poster boy PN kerana rakyat sudah mengetahui PN dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Semua orang tahu Perikatan Nasional ialah (dipimpin oleh) Tan Sri Muhyiddin.

“Saya akan gunakan poster Muhyiddin dan saya rasa hampir semua kawasan akan gunakan poster Muhyiddin. Jadi secara automatik kita tak perlu umumkan Muhyiddin adalah poster boy untuk PN,’ katanya lagi. – MalaysiaGazette