JOHOR BAHRU – Jentera Barisan Nasional (BN) akan memperhebatkan kempen ‘Undi Dacing’ sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan para pengundi tidak terkeliru semasa memangkah kertas undi.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kempen besar-besaran ini dilakukan kerana ada dalam kalangan pengundi terutama pengundi atas pagar yang keliru antara BN dan Perikatan Nasional (PN).
Mereka keliru kerana warna PN mempunyai persamaan dengan logo BN.
“Selain itu, PN juga memainkan strategi bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri (PM) PN. Kalau pilih PN bermakna memilih Ismail Sabri.
“Ini salah kerana Ismail Sabri bukan dari PN, beliau PM dari UMNO, ingat tu.
“Justeru paling senang ingat sahaja lambang dacing, itulah logo BN,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.
Tegas Nur Jazlan, kekeliruan ini memang menjadi strategi awal PN sejak penubuhan gabungan untuk ‘mematikan’ UMNO, sekali gus menguburkan BN.
Dengan strategi ini, PN berharap perikatan ini akan menggantikan BN.
“Namun, harapan mereka tidak kesampaian apabila UMNO dan akar umbi UMNO tahu taktik kotor PN ini,” ujar beliau.
Lantaran itu, BN akan menggunakan 14 hariĀ berkempen ini untuk mempromosi ‘Undi Dacing’ kepada para pengundi Johor.
“Tidak ada parti yang guna dacing, yang ada itulah BN,” ujar beliau. – MalaysiaGazette