Home Utama Dewan Rakyat bermula Isnin, pengganti Azalina akan dipilih

Dewan Rakyat bermula Isnin, pengganti Azalina akan dipilih

Parlimen
Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti masih di peringkat perbincangan.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 pada Isnin, yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Usaha pemulihan negara menuju fasa endemik selain fokus kestabilan politik menerusi hasrat kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti, dijangka antara tumpuan persidangan selama 16 hari hingga 24 Mac itu.

Mesyuarat kali ini juga, sekali lagi dijangka diisi dengan proses pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan pada 23 Ogos 2021.

Mengesahkan perkara itu kepada Bernama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata proses pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu telah dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuara kali ini.

“Sudah pasti akan ada (usul) untuk memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana buat masa ini hanya saya seorang Timbalan (Yang Dipertua) jadi kita memerlukan seorang lagi (Timbalan Yang Dipertua),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang lepas, Azalina melepaskan jawatan itu, bagaimanapun beliau tetap menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara, sepanjang tempoh persidangan itu berlangsung.

Ketika persidangan pada 25 Okt, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kepada Dewan Rakyat pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan ke persidangan akan datang.

Menurut Wan Junaidi, usul perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat yang lepas tetapi ditangguhkan bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan ahli Dewan Rakyat.

Menurut takwim mesyuarat Dewan Rakyat yang dimuat naik dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, ahli-ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama empat hari mulai 7 Mac.

Seterusnya, sidang Parlimen diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 14 hingga 17 Mac, menurut takwim itu.

Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung pada empat hari terakhir persidangan bermula 21 Mac.

Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara turut akan dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat dan persidangan akan berlangsung selama sembilan hari bermula 21 Mac.

Dalam pada itu, sebagai usaha berterusan meminimumkan risiko jangkitan COVID-19 di Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi persidangan Parlimen, kekal seperti sebelum ini.

Beliau berkata Ahli Parlimen dan petugas diwajibkan menjalani ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) tiga hari sebelum persidangan berlangsung selain penghadang lutsinar di tempat Ahli Parlimen sebagai langkah menetapkan penjarakan fizikal akan terus dipasang.

“Saringan COVID-19 yang dijalankan dua hari bermula Khamis (24 Feb) di bangunan Parlimen, mengesan 146 kes positif daripada 1,474 petugas Parlimen, wakil media dan Ahli Parlimen yang disaring,” katanya.

Bagaimanapun, Azhar memaklumkan seramai 183 Ahli Parlimen tidak hadir bagi menjalani saringan RT-PCR di Parlimen, sebaliknya menjalani saringan kendiri (atas kapasiti sendiri) dan Dewan Rakyat akan mendapatkan keputusan saringan mereka sebelum persidangan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata tiada had jumlah Ahli Parlimen di dalam dewan persidangan pada satu-satu masa ditetapkan, namun mereka dinasihatkan melakukan penggiliran.

— BERNAMA

 

1 Komen

  1. Timbalan dua orang tak cukup lagi ke . Kalau macam tu lantiklah sepuluh orang gaji elaun boleh rasa bersama lebih bersih dari cara curi 1mdb Najib .

Comments are closed.