Home Politik Akui tidak kekok santuni penduduk, netizen mula gelar YB – Fauziah

Akui tidak kekok santuni penduduk, netizen mula gelar YB – Fauziah

Calon BN Penawar
Calon Barisan Nasional bagi DUN N.38 Penawar, Fauziah Misri hadir beramah mesra bersama penduduk sekitar Bandar Mas pada Program Jualan Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sempena Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) 2022 di Dewan Bandar Mas, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 27 FEBRUARI 2022.

DESARU – Pengalaman bekerja dalam Wanita UMNO Johor sejak puluhan tahun lalu banyak membantu Fauziah Misri menyantuni penduduk setempat, apatah lagi selepas diangkat menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkara itu diakui sendiri calon BN di kerusi N38 Penawar yang tidak berasa kekok mahupun janggal untuk bertemu masyarakat setempat, lebih-lebih lagi pada hari pertama berkempen di sekitar kawasan yang ditandinginya itu.

“Tak (kekok) sebenarnya, saya biasa bekerja bersama dengan masyarakat.

“Apa pun perjalanannya sama, saya bukan baru dalam politik, saya daripada NGO (badan bukan kerajaan), aktif dalam belia.

“Jadi semua perkara ini memang biasa yang saya lakukan sejak dulu lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Jualan Keluarga Malaysia di Bandar Mas, Penawar, hari ini.

Fauziah antara calon Barisan Nasional yang disahkan akan bertanding dalam PRN Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar pada 12 Mac ini.

Beliau menggantikan penyandang kerusi tersebut, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain untuk mempertahankan kerusi N38 yang dimenangi Ketua Wanita UMNO Johor itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mac 2018.

Fauziah Penawar
Calon Barisan Nasional bagi DUN N.38 Penawar, Fauziah Misri hadir beramah mesra bersama penduduk sekitar Bandar Mas pada Program Jualan Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sempena Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) 2022 di Dewan Bandar Mas, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 27 FEBRUARI 2022.

Katanya, belum pun pertandingan empat penjuru itu bermula, Facebook milik Fauziah sudah dihujani pelbagai ucapan tahniah, malah ramai netizen menggelar beliau sebagai Yang Berhormat (YB) meskipun baru bergelar calon BN.

“Itu memang ada…memang ramai (panggil YB) tapi ia (beri semangat) untuk saya.

“Terima kasih kepada mereka yang selalu memberi semangat kepada saya, doa-doa mereka Insya-Allah kemenangan itu berpihak kepada kita.

“(Itu) harapan penuh kepada pengundi-pengundi di dalam DUN N38,” katanya lagi. – MalaysiaGazette