Home Politik Kuota wanita: Itulah yang kita mahukan – Fauziah

Kuota wanita: Itulah yang kita mahukan – Fauziah

Calon Barisan Nasional bagi DUN N.38 Penawar, Fauziah Misri bercakap pada media selepas hadir ke Program Jualan Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sempena Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) 2022 di Dewan Bandar Mas, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 27 FEBRUARI 2022.

KOTA TINGGI – Keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan sehingga 10 calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menepati kehendak golongan itu selepas sekian lama disuarakan.

Calon BN kerusi N38 Penawar, Fauziah Misri berkata, pencalonannya merupakan satu peluang bermakna kepada wanita BN, bukan sahaja menyumbang sebagai bakal wakil rakyat bahkan sebagai pembuat dasar dalam kerajaan negeri kelak.

“Sebenarnya itulah yang kita mahukan, sejak dulu pun kita mahukan sudah banyak pilihan raya kecil, umum dan negeri.

“(Perkara) itu juga yang kita bawakan dalam mesyuarat untuk diberikan 30 peratus wanita dalam pelbagai aspek.

“Bukan untuk kerusi DUN ataupun Parlimen tapi untuk memegang jawatan-jawatan tertinggi di dalam kerajaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam Program Jualan Keluarga Malaysia di Bandar Mas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, peningkatan bilangan calon wanita dalam PRN Johor menunjukkan parti itu semakin yakin dengan kemampuan wanita menyumbang kemenangan parti.

Antara calon Wanita BN ialah Haslinda Salleh di DUN Tenang, Nur Fara Samsudin (Maharani), Nor Rashidah Ramli (Parit Raja), Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota) dan Rashidah Ismail (Pasir Raja).

Turut dicalonkan, Norliza Noh (Johor Lama), Fauziah Misri (Penawar), Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) dan Khairin Nisa Ismail (Serom).

Dalam pada itu, Fauziah menyifatkan pembabitan 10 calon wanita bagi mewakili BN itu sebagai peluang yang berharga untuk terus mempertahankan DUN Penawar sebagai kubu kuat BN.

“Saya rasa ini peluang ruang yang diberi oleh pucuk pimpinan.

“Insya-Allah kami calon-calon wanita akan buat terbaik bagi memastikan BN menang dalam PRN Johor dengan dua pertiga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette