KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang menghina Almarhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM5,000 dan tujuh hari penjara selepas mengaku bersalah atas perbuatan tersebut.
Tertuduh, Sheikh Noor Affandi bin Sh. Ab. Ghani, 40 tahun didakwa telah memuatnaik komen “Yahoo! Dah mampus Sultan Negeri Kedah Darul Aman” telah dituduh di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di Mahkamah Siber Kuala Lumpur pada hari ini.
Sekiranya gagal membayar denda tertuduh akan dihukum penjara 3 bulan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengingatkan kemajuan teknologi dan kewujudan pelbagai aplikasi pada masa kini tidak sewajarnya disalahgunakan bagi memuatnaik pandangan atau komen secara membuta tuli.
Tindakan sebegini merupakan satu kesalahan dan boleh mengakibatkan pelakunya disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya..
Jelas beliau, masyarakat perlulah bijak dan memikirkan implikasi yang mungkin berlaku rentetan pandangan atau komen yang dibuat di laman sosial.
Ini kerana komen yang dibuat akan dibaca oleh ribuan malahan jutaan orang dan pelbagai pemahaman berbeza boleh dibuat.
Komen-komen yang bersifat penghinaan, biadab dan kurang ajar lebih-lebih lagi ditujukan kepada pemimpin negara mampu mencetuskan ketegangan di kalangan masyarakat, selain mengganggu keamanan negara ini. – MalaysiaGazette