Home Nasional Lapor pada saya jika majikan tak terima surat HSO digital – KJ

Lapor pada saya jika majikan tak terima surat HSO digital – KJ

Khairy Jamaluddin.

SIMPANG RENGGAM – Menteri Kesihatan berharap para majikan akan mula menerima salinan sijil digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan Perintah Pelepasan Kuarantin (RO) setelah tempoh kuarantin pekerja mereka berakhir.

Ini kerana kata Khairy Jamaluddin, sejak kebelakangan ini ramai hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sehingga keadaan menjadi sesak semata-mata kerana majikan mahu notis bertulis dan bukan tangkap layar dari aplikasi MySejahtera.

Jelasnya, 30 hingga 50 peratus individu yang hadir ke CAC untuk tujuan pelepasan kuarantin sehingga menyebabkan bebanan petugas kesihatan bertambah.

“Sepatutnya petugas CAC buat penilaian kesihatan pesakit Covid-19. Yang hadir rata-rata mahu notis bertulis kerana tangkap layar skrin HSO tidak diterima majikan.

“Saya mohon kepada semua majikan supaya mereka menerima pakai salinan paparan skrin HSO bagi mengelak kesesakan di CAC lagi,” katanya selepas lawatan rasmi ke CAC Klinik Simpang Renggam di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Khairy lagi, seandainya ada majikan masih lagi enggan terima sijil digital tangkap layar, pekerja boleh membuat aduan secara terus kepadanya.

“Kalau ada majikan enggan terima, boleh buat aduan kepada saya terus. Saya cari mereka. Saya mohon mereka (majikan) peka dengan penggunaan screenshot MySejahtera selepas ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette