Home Politik Projek rumah mampu milik sudah dirancang di Mersing – Raven

Projek rumah mampu milik sudah dirancang di Mersing – Raven

Raven Kumar Krishnasamy

MERSING – Ada berita gembira untuk penduduk Mersing khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh.

Satu projek pembangunan perumahan mampu milik bakal dibina untuk mereka.

Calon Barisan Nasional (BN), Raven Kumar Krishnasamy yang bertanding untuk penggal ketiga bagi mempertahankan kerusi DUN Tenggaroh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini berkata, ia adalah fokus utamanya kepada para pengundinya.

Katanya, projek rumah mampu milik telah dirancangkan oleh kerajaaan negeri.

“Kita ada perancangan baharu membina rumah mampu milik untuk penduduk di Mersing tetapi buat masa ini saya tak boleh dedahkannya sebab agak sulit.

“Lagi pun semua kertas kerja dokumen masih dalam proses rundingan yang mana projek itu membabitkan penyediaan sebanyak 2,000 hingga 3,000 unit rumah di Tenggaroh pada masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Tambah Raven Kumar yang juga Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, sebuah kawasan tanah milik swasta yang dikenal pasti berhampiran Taman Perumahan Lagenda di sini akan dibina bagi tujuan itu.

Menurutnya, projek rumah mampu milik itu akan dilaksanakan oleh pemaju swasta yang memiliki tanah itu dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Harga seunit rumah itu adalah membabitkan antara RM180,000 hingga RM300,000 sahaja dan ini harga yang mampu dimiliki penduduk di sini dan ia menjadi impian mereka selama ini.

“Ia projek yang diyakini memanfaatkan penduduk di Mersing di sini kerana isu pemilikan rumah sendiri menjadi perkara sering diharapkan masyarakat setempat.

“Sebagai pemimpin bertanggungjawab, kita cuba mencari jalan untuk merealisasikan keperluan penduduk yang mengundi selama ini,” katanya lagi.

Justeru, mengubah landskap Mersing sebagai kawasan tumpuan pelancongan dan pertanian turut menjadi hasratnya.

Katanya, kedua-dua perancangan itu akan membuka peluang pekerjaan yang luas untuk anak-anak muda di Tenggaroh dan Mersing secara umumnya.

“Bila orang dari luar datang ke sini, mereka kata hendak membawa peluang sektor perindustrian. Benda ini adalah tidak betul kerana Mersing bukan untuk perindustrian kerana tidak realistik idea itu disebabkan akses yang jauh..sebaliknya berpotensi luas dalam pelancongan dan pertanian serta keselamatan makanan sahaja.

“Kita akan memberi fokus untuk menyediakan latihan kemahiran kepada anak-anak muda tempatan dalam bidang industri pelancongan membabitkan resort penginapan pulau dan sebagainya.

“Keduanya, kita akan membimbing serta menyediakan latihan kemahiran untuk mereka dari segi pertanian iaitu projek Lembah Tenusu yang mana kerajaan sudah menandatangani perjaniian untuk pembangunan projek tersebut.

“Ia merupakan projek besar yang akan membantu kita mewujudkan petani satelit yang mana membuka ruang untuk mereka membekalkan susu. Segalanya sudah dirancang cuma kita tunggu masa yang tepat untuk merealisasikannya,” katanya.- MalaysiaGazette