Home Politik Pembangkang serang Najib kerana takut BN – Hairi

Pembangkang serang Najib kerana takut BN – Hairi

Hairi Md Shah bertemu dengan peniaga dan penduduk di pasar malam Larkin.

JOHOR BAHRU – Tindakan pembangkang yang menyerang pemimpin UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana ketakutan terhadap Barisan Nasional (BN).

Calon BN DUN Larkin, Hairi Md Shah berkata, serangan terhadap Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merupakan satu budaya politik yang tidak matang.

“Kalau kita lihat Najib dan Zahid tidak pun bertanding di sini. Kalau kita lihat tiada satu pun banting yang menunjukkan Najib, Zahid sayangkan Johor.

“Tapi kalau kita lihat ada banting Abah Prihatin Johor. Jadi saya lihat mereka masih dibayangi ketakutan dengan BN,” kata Hairi yang juga Ketua Pegerakan Pemuda UMNO Johor.

Semalam Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, pembangkang sudah tidak mempunyai modal apabila acapkali mengaitkan isu kluster mahkamah untuk menjatuhkan dirinya dan Barisan Nasional (BN).

Bekas perdana menteri itu berkata, permainan kotor pembangkang sudah tidak laku lagi di mata dan hati rakyat kerana rakyat semakin bijak menilai perkara yang sebenar.

Sementara itu Hairi mengakui, kempen pembangkang yang menjadikan Najib dan Ahmad Zahid sebagai sasaran tidak mendatangkan kesan.

Ini kerana sambutan yang diterimanya sepanjang memulakan kempen pilihan raya sejak semalam disifatkan sebagai luar biasa.

“Alhamdullilah sambutan yang agak luar biasa bila saya menegur mereka memberikan respon yang baik, insya-Allah saya melihat satu gelombang yang luar biasa.

“Saya mengharapkan sokongan yang berterusan kepada Barisan Nasional khususnya di Larkin ini,” katanya yang ditemui di pasar malam Larkin Aman petang tadi.

Selain Hairi, pasar malam tersebut menjadi tumpuan beberapa calon DUN Larkin yang mengambil peluang mendekati pengundi.

Sementara itu, Hairi menganggap pertembungan calon Muda, Rasid Abu Bakar dan calon PKR, Dr Zamil Najwah Arbain di DUN Larkin bukanlah satu kelebihan kepada BN untuk menang.

Sebaliknya ‘perang’ atara dua sekutu itu dianggap sebagai satu cabaran untuk merampas semula DUN Larkin.

“Bagi saya itu satu cabaran, kerana apa sekali pun saya menganggap saya masih lagi pembangkang, kedudukan pembangkang di DUN Larkin. Sebabnya kami tewas ketika PRU-14 jadi kami berhasrat untuk merampas kembali DUN Larkin dan DUN Stulang.

“Itu adalah azam kami dan insya-Allah kita membentu satu pasukan yang kuat untuk memenangi di Larkin dan Stulang. Kami akan keras dan gandakan kerja kami.

“Insya-Allah sekiranya diberikan mandat oleh orang muda, orang-orang lama dan kita boleh menilai sendiri 22 bulan apa yang telah mereka lakukan kepada negara dan khususnya rakyat di negeri Johor,” katanya.

DUN Larkin menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk calon daripada Perikatan Nasional, Pejuang dan Bebas.-MalaysiaGazette.