Home Nasional SPR sekat ceramah calon Bersatu ingkar SOP

SPR sekat ceramah calon Bersatu ingkar SOP

Alawiyah Talib mendengar penerangan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai prosedur operasi standard berkempen untuk Pilihan Raya Negeri Johor.

MERSING – Malang bagi calon Parti Peribumi Bumiputera Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alawiyah Talib apabila ceramah kempen pertama malam ini dihalang oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pegawai Penguatkuasa SPR, Zulkifli Jamil berkata, pihaknya bukan menghalang terus daripada berceramah tetapi kehadiran pengunjung dihadkan mengikut keluasan tempat.

“Kita bukan halang tetapi hanya 20 orang sahaja dibenarkan berada dalam premis dan tidak dibenarkan orang ramai berada di luar kawasan.

“Kita benarkan ceramah sehingga 100 orang tetapi ikut keluasan premis dan bukan di kawasan terbuka seperti di Pusat Daftar Pengundi (PDM) Bersatu di kampung Tenglu malam ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, permit untuk mengadakan ceramah memang telah diperoleh tetapi keluasan dan lokasinya tetap diambil kira.

“Kami hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan dan pihak terlibat perlu memahami tugas kami,” katanya.

Sementara itu, Alawiyah yang tiba di lokasi enggan mengulas dan nampak kecewa dan meneruskan program ceramah dengan kapasiti tidak lebih 20 orang.

Orang ramai yang hadir turut meninggalkan lokasi ceramah seperti yang diarahkan. – MalaysiaGazette