Home Politik Calon MUDA Larkin tidak rendah diri ada STPM

Calon MUDA Larkin tidak rendah diri ada STPM

Calon MUDA N.44 Larkin, Rasid Abu Bakar bercakap ketika ditemubual bersama pengamal media sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bilik Gerakan MUDA, Jalan Stulang Baru, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Rasid Abu Bakar yang mempunyai pendidikan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak berasa rendah diri untuk berkhidmat kepada rakyat.

Rasid, 28, yang juga Ketua Penerangan Muda Johor berkata, dengan pengalaman pekerjaannya di pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa selama 10 tahun, dia yakin boleh memberikah perkhidmatan terbaik kepada penduduk DUN Larkin.

Beliau menegaskan, ramai anak muda yang telah menempah kejayaan walaupun hanya berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sebenarnya saya tak pernah rasa rendah diri pun. Saya rasa ramai yang berbakat telah saya kawan dan kenal. Ada yang tak habis sekolah, ada yang PMR, ada yang SPM sahaja.

“Tapi apa yang penting negara kita ini harus bergerak ke hadapan,” katanya dalam sesi Tanya Rasid Apa Saja di bilik gerakan parti itu di sini malam tadi.

Calon MUDA N.44 Larkin, Rasid Abu Bakar bercakap ketika ditemubual bersama pengamal media sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bilik Gerakan MUDA, Jalan Stulang Baru, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2022.

Tambah Rasid, pengalaman pekerjaannya yang luas termasuk pekerjaan terakhir sebagai pengurus operasi peruncitan membolehkannya membantu peniaga kecil dan sederhana di DUN itu mengembangkan perniagaan.

Katanya, peniaga-peniaga terbabit perlukan bimbingan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan bagi membolehkan perniagaan mereka terus maju.

“Di Larkin, dengan pengalaman saya bantu orang Larkin tentang ekonomi digital, market place, pemasaran, operasi peruncitan, kos pengurusan yang saya rasa banyak peniaga kecil yang ada perniagaan yang boleh kita tingkatkan kemahiran naik ke peringkat seterusnya.

“Bagaimana mereka nak berurusan dengan pembekal yang stabil, bagaimana perjanjian dan kontrak yang boleh dibuat dengan mereka. Ini juga boleh mengawal harga barang.

“Ini semua biasanya dibuat oleh syarikat besar yang tidak dibuat oleh peniaga kecil tetapi sebenarnya boleh dilakukan,” kata Rasid.

Beliau turut berkongsi pengalamannya menolong bapanya berniaga sate sejak umur sembilan tahun serta pengalaman bekerja di Singapura hampir setahun.

Sewaktu bekerja di Singapura, Rasid berkata, dia perlu bangun seawal 3 pagi untuk pergi bekerja dan balik ke Johor pada pukul 11 malam setiap hari.

Dalam pada itu, Rasid berkata, MUDA ada banyak tawaran untuk diberikan kepada rakyat Johor sekiranya calon-calon parti itu dipilih pada pilihan raya nanti.

Tawaran-tawaran itu akan diumumkan oleh Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak lama lagi. – MalaysiaGazette.