Home Politik Hiang Kee yakin tewaskan ‘calon pengembara’ Chin Tong

Hiang Kee yakin tewaskan ‘calon pengembara’ Chin Tong

Hiang Kee memperkenalkan dirinya kepada penduduk Perling di sebuah restoran di sini.

JOHOR BAHARU – Lahir sebagai anak tempatan dan membesar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling diyakini akan memberi banyak kelebihan kepada calon Barisan Nasional Tan Hiang Kee untuk menewaskan nama besar DAP, Liew Chin Tong.

Menurut Hiang Kee beliau tidak gentar untuk berhadapan dengan Chin Tong yang dianggap sebagai calon pengembara oleh penduduk tempatan berikutan telah bertanding di beberapa kawasan termasuk di luar Johor.

“Itulah perbezaan utama saya dengan Chin Tong. Saya dilahirkan di sini, saya belajar di sini. Saya tinggal di sini dan membesar di sini. Memang betul-betul anak tempatan.

“Memang ada keyakinan untuk menang. Kita bertanding secara adil,” kata Hiang Kee ringkas kepada MalaysiaGazette ketika sedang bertemu dengan rakyat Perling di sebuah restoran di sini pagi tadi.

Namun menurut Hiang Kee, beliau perlu bekerja keras untuk menemui semua penduduk di sekitar Perling bagi memperkenalkan dirinya.

Ini kerana beliau merupakan muka baharu yang diletakkan oleh MCA untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Tegas Hiang Kee, beliau tidak akan berpuas hati selagi tidak berjumpa dengan semua penduduk sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Ketika ditanya adakah beliau mendapat sebarang momentum berikutan kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Hiang Kee berkata, beliau tidak pasti.

Bagaimanapun kempen-kempen pilihan raya yang dijalankan olehnya telah mendapat sambutan yang baik.

“Sambutan boleh tahan. Saya perlu berusaha untuk dapatkan sambutan sebab saya orang baharu memang perlu perkenalkan diri sampai semua kenal saya.

“Itu saya tidak pasti. Meningkat atau tidak, tapi dia sebagai pemimpin datang ke sini memberi saya sokongan, saya memang gembira,” kata Hiang Kee.

Media semalam melaporkan, Najib menjadi tumpuan masyarakat Cina ketika hadir di sebuah restoran di sini.

Pemimpin utama Barisan Nasional itu tiba di Perling untuk memberikan sokongan kepada Hiang Kee yang turut berada di restoran itu.

Kehadiran Najib dianggap oleh setengah-setengah pihak sebagai ‘senjata sulit’ kepada calon Barisan Nasional tersebut untuk menawan hati pengundi berketurunan Cina di Perling bagi menewaskan Chin Tong.-MalaysiaGazette.