Home Nasional 6 helikopter tempur ringan MD530G buatan AS tiba – PAT

6 helikopter tempur ringan MD530G buatan AS tiba – PAT

Foto: Tentera Darat

KUALA LUMPUR – Enam buah  helikopter MD530G yang berperanan sebagai Pesawat Tempur Ringan tiba di Pelabuhan Klang pada Isnin yang lalu.

Panglima Tentera Darat (TD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, helikopter buatan Amerika Syarikat itu kini sedang melalui pemeriksaan oleh Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan ia dijangka berjalan selama kira-kira enam hari.

Jelas beliau, keenam-enam helikopter tersebut seterusnya akan melalui proses penerimaan akhir oleh TD.

“Satu pasukan pemeriksa yang dikenali sebagai Tim Final Acceptance Test (FAT) telah ditubuhkan dan akan dipertanggungjawabkan untuk memeriksa pesawat ini secara terperinci.

“Proses FAT ini dijadualkan bermula pada 3 hingga 27 Mac 22,” katanya

Helikopter berkenaan dilengkapi dengan kuasa tembakan (firepower) jenis Gatling Gun 7.62mm, Heavy Machine Gun 12.7mm dan Rocket Launcher 70mm.

Menurut Zamrose, keupayaan kuasa tembakan (firepower) yang dimiliki oleh helikopter itu mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan trak infantri pada jarak 500 meter hingga 7 kilometer.

“Ketangkasan (agility) helikopter ini juga membolehkan ianya melaksanakan tugas tinjauan udara. Helikopter ini akan diaturgerakkan untuk membantu ketumbukan Tempur TD yang lain di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak,” tambah beliau.

Katanya, selain membekal 6 buah helikopter, kontrak perolehan ini juga merangkumi program latihan untuk Juruterbang dan Juruteknik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Seramai lapan juruterbang dan sembilan juruteknik menghadiri program latihan tersebut di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat selama 43 hari . – MalaysiaGazette