Home Nasional Johor sudah sedia beralih ke fasa endemik

Johor sudah sedia beralih ke fasa endemik

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (tengah) melancarkan Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Hotel Impiana, Senai. Foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Johor sudah bersiap sedia melangkah ke fasa endemik secepat mungkin dalam usaha merancakkan sektor ekonomi di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pembukaan sempadan Malaysia-Singapura perlu diperluaskan segera dengan menggunakan indikator peningkatan jumlah peratusan individu yang sudah mendapatkan dos penggalak.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan positif itu, kerajaan boleh mengambil kira keperluan menambah kuota pengembara kedua-dua negara melalui inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat.

“Saya mendapat petunjuk daripada Kerajaan Pusat bahawa bilangan jumlah pengembara yang menggunakan VTL darat sedang dikaji daripada masa ke semasa.

“Ia adalah usaha berterusan secara bersama antara Kerajaan Pusat dengan Singapura bagi menambah bilangan pengembara menggunakan inisiatif berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abd Aziz dan Timbalan Pengerusi AIM, Mohd Najib Mohd Noor.

Sementara itu, Skim VTL darat dan udara Malaysia-Singapura mula dilaksanakan pada 29 November lalu, dengan kuota 1,440 individu pada minggu pertama.

VTL darat membabitkan Stesen Bas Queen Street, Singapura ke Terminal Larkin Sentral, dekat sini, manakala VTL udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kuota penggunaan VTL darat dikurangkan sehingga 50 peratus pada Januari lalu berikutan penularan varian Omicron.

Isu VTL darat dan pembukaan sempadan menjadi antara isu yang dibangkitkan oleh parti politik pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini. – MalaysiaGazette