KUALA LUMPUR – Bintang muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Hanapi bakal melebarkan sayapnya ke luar negara selepas pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan sedia melepaskan pemain berusia 19 tahun itu.
Tunku Ismail berkata, Arif Aiman boleh berkelana asalkan dapat membantu perkembangan tahap permainannya menjadi lebih baik.
Namun tegasnya, bermain di luar negara sama sekali tidak memberi sebarang jaminan kerana apa yang lebih penting adalah pasukan itu memiliki sistem terbaik untuk membentuk pembangunan dan kemajuan seseorang pemain.
“Mana-mana liga okay asalkan ada jurulatih dan sistem yang boleh improve dia. Tak semestinya main luar negara sahaja bagus. Hadi Fayyadh dan Lokman (Luqman Hakim Shamsudin) apa cerita?
“Bila main national team perform? So is not about liga mana dia main. Is about system,” kata Tunku Ismail menerusi satu komen di laman Instagramnya.
Sebagai rekod, pemain sayap lincah itu menjadi antara salah seorang bintang muda sedang meningkat yang pasti akan menjadi aset berharga untuk skuad kebangsaan bagi tempoh jangka masa panjang.
Pemain itu melengkapkan musim gemilangnya pada tahun lalu apabila dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21).
Dia melakar sejarah menjadi pemain paling muda merangkul anugerah utama itu selepas rakan sepasukannya, Safawi Rasid melakukannya pada 2018 ketika usia 21 tahun.
Malah, dia turut menggondol Anugerah Penyerang Terbaik dan Anugerah Pemain Muda Terbaik dalam anugerah sama.
Persembahan sulungnya pada musim 2022 juga tidak kurang hebatnya apabila aksi cemerlangnya sering kali memberikan kesukaran kepada bek kiri KL City FC, Declan Lambert pada aksi Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah, Sabtu lalu.
Pada aksi terbabit, Arif mencipta satu hantaran yang disudahkan Nazmi Faiz Mansor untuk gol pembukaan skuad Harimau Selatan dan mereka memenangi aksi terbabit 3-0. – MalaysiaGazette