KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mula membuka permohonan untuk pemberian subsidi kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur bermula hari ini hingga 6 Jun 2022 bagi pengeluaran ayam daging dan telur bermula 5 Februari 2022 hingga 5 Jun 2022.
Sebanyak RM528.52 juta disediakan untuk tujuan subsidi ini, kata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Kadar pemberian subsidi sebanyak RM0.60/kg bagi ayam pedaging dan RM0.05/biji bagi telur gred A, B dan C dan pemberian subsidi ini akan melibatkan
penternak persendirian, penternak integrator/semi-integrator dan juga penternak kontrak.
Berdasarkan rekod pendaftaran penternak di seluruh negara, dianggarkan seramai 2,255 orang penternak akan menikmati subsidi ini.
Permohonan subsidi boleh dibuat di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang terdekat dengan ladang penternak.
Menurutnya, garis panduan permohonan subsidi ayam dan telur bagi penternak ayam pedaging dan ayam penelur dan borang-borang permohonan boleh
didapati melalui Portal Rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Pembayaran subsidi akan disalurkan terus ke akaun penternak melalui Agrobank.
Katanya, kementerian akan membuat penilaian ke atas pemberian subsidi bagi memastikan proses pembayaran subsidi dapat berjalan dengan lancar dan semua penternak yang terlibat dapat menggunakan subsidi ini bagi meningkatkan kapasiti operasi ladang dan menjamin bekalan ayam dan telur berterusan.
Kerajaan amat berharap dengan pemberian subsidi ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70% dari kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.
Subsidi ini diberi kepada semua ketagori penternak sama ada penternak persendirian, penternak integrator atau semi integrator dan juga penternak kontrak.
MAFI percaya langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak akan dapat menstabilkan kembali bekalan sekaligus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan, ujarnya. – MalaysiaGazette