Home Politik Faizal nafi kempen PN hambar di Penawar

Faizal nafi kempen PN hambar di Penawar

Calon Perikatan Nasional (PN) N38 Penawar, Mohd Faizal Asmar ketika ditemubual khas bersama Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 di Felda Sungai Mas, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 28 FEBRUARI 2022.

KOTA TINGGI – Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Faizal Asmar menafikan suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar hambar meskipun sudah masuk hari kedua.

Meskipun kawasan itu dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) namun ia tidak menghalang beliau untuk terus berkempen memperkenalkan diri kepada masyarakat walaupun masih belum ada tanda kehadiran pimpinan tertinggi PN.

“Saya dimaklumkan kepimpinan tertinggi akan turun ke sini dalam beberapa hari lagi. Awal berkempen, kepimpinan tertinggi memberi ruang dan peluang kepada calon untuk kita bergerak sendiri.

“Kita sebagai calon perlu jalan kerja, buat program, pasang bendera, pasang kain rentang dan menyantuni masyarakat.

“Bukan sahaja pimpinan tertinggi (PN) bahkan beberapa menteri akan turun padang ke Pengerang untuk menggiatkan kempen khususnya di DUN Penawar dan Tanjung Surat.

“Saya percaya janji pimpinan PN selalu ditepati, itu membuatkan saya bangga sebagai calon PN,” katanya dalam temubual bersama MalaysiaGazette di Felda Papan Timur hari ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) N38 Penawar, Mohd Faizal Asmar beramah mesra dengan pengundi ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 di Perniagaan Atiqah Ramlan, Felda Sungai Mas, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 28 FEBRUARI 2022.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, kerusi N38 dimenangi calon BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dengan memperolehi 7,134 majoriti undi.

Sharifah Azizah yang memperoleh 12,330 undi itu menewaskan pencabarnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Kamah Nor yang hanya memperoleh 5,196 undi sahaja.

Dalam PRN Johor kali ini, penyandang DUN Penawar itu tidak mempertahankan kerusi tersebut, sebaliknya Ketua Wanita UMNO Johor itu bertanding di kerusi N29 Mahkota. – MalaysiaGazette