KUALA LUMPUR – UOB Asset Management (Malaysia) (UOBAM (Malaysia)) melancarkan SimpleInvest Solutions bagi pelabur individu untuk mendapat akses kepada dana terlaras risiko dan terpelbagai dengan baik yang bertujuan memenuhi selera risiko dan objektif kewangan mereka yang berbeza.
Dirancang untuk memudahkan pelaburan, SimpleInvest Solutions terdiri daripada tiga dana unik yang diuruskan secara aktif, iaitu:
United Simple Income Select (USIS), yang bertujuan menyediakan pendapatan untuk pelabur berisiko sederhana dengan tempoh pelaburan jangka sederhana hingga panjang. Menggunakan strategi ‘fund-of-funds’ (FOF), USIS melabur dalam portfolio terpelbagai skim pelaburan kolektif dana pendapatan tetap, ekuiti dan berbilang aset;
United Simple Growth Select (USGS) adalah FOF yang bertujuan menyediakan peningkatan modal kepada pelabur yang mempunyai toleransi risiko tinggi dalam jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam skim pelaburan kolektif portfolio dana ekuiti yang terpelbagai. USGS memberi pendedahan kepada kedua-dua peluang pertumbuhan yang disruptif dan sekular dalam sektor seperti automasi, robotik, kecerdasan buatan dan inovasi penjagaan kesihatan; dan;
United Money Market Fund, bertujuan menawarkan pendapatan jangka pendek dan mudah tunai kepada pelabur pembenci risiko dengan melabur terutamanya dalam sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan deposit.
Lim Suet Ling, Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM berkata, memandangkan ketidaktentuan pasaran pada masa kini dan kadar faedah yang masih pada paras rendah di seluruh dunia, pelabur individu mungkin menghadapi cabaran membina portfolio pelaburan yang kukuh.
”Dengan SimpleInvest Solutions, kami berhasrat untuk menangani cabaran ini. Dirancang untuk memenuhi pelbagai jenis profil risiko, SimpleInvest Solutions membolehkan pelabur untuk melabur dengan mudah dan bijak pada peringkat berbeza dalam kehidupan mereka dengan hanya memilih penyelesaian yang sepadan dengan tahap toleransi risiko dan objektif pelaburan mereka,” katanya.
United Money Market Fund boleh didapati di pengedar terpilih, manakala USIS dan USGS diedarkan oleh UOB Malaysia secara eksklusif.
Dana di bawah SimpleInvest Solutions disediakan untuk langganan dalam kedua-dua mata wang domestik dan asing dengan pelaburan permulaan minimum berjumlah RM1,000, A$1,000, S$1,000 dan AS$1,000 masing-masing. – MalaysiaGazette