Home Politik Tak perlu PRU selepas PRN Johor  – Zulkifli Bujang

Tak perlu PRU selepas PRN Johor  – Zulkifli Bujang

Zulkifli Bujang meets the residents of Kampung Melayu Majidee in conjunction with the Johor state election campaign. 15th General Election GE15 UMNO BN PN Perikatan Nasional Mohamad Hasan
Zulkifli Bujang meets the residents of Kampung Melayu Majidee in conjunction with the Johor state election campaign. Zulkifli berbual dengan salah seorang penduduk Kampung Melayu Majidee.

JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak perlu diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tamat kerana tempoh penggal Parlimen ke-14 berakhir tidak lama lagi iaitu pada bulan Mei tahun hadapan.

Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin Zulkifli Bujang berkata, tempoh tersebut bukanlah satu jangka masa yang lama untuk ditunggu oleh semua pihak.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan yang dilaporkan mahu meminta perdana menteri mengadakan PRU-15 sebaik PRN Johor tamat.

“Kalau itulah hasrat dan tujuannya, kita boleh baca apakah yang sebenarnya mereka mahukan. Kita lihat kes Covid-19 begitu tinggi sekali sampai 30,000 mungkin akan naik ke 40,000 adakah mereka masih mahu teruskan?

“Kalau, tak kiralah apapun keadaannya mereka masih mahukan pilihan raya itu berlaku, kita boleh lihat dengan jelas inilah sikap sebenar pemimpin-pemimpin dari seberang sana.

“Apa yang berlaku hari ini juga, mereka sebut inikan kestabilan. Kestabilan apa yang mereka sebutkan kalau mereka melakukan pilihan raya demi pilihan raya. Ia merupakan satu kekuasaan politik yang mereka mahu capai,” kata Zulkifli kepada MalaysiaGazette.

Zulkifli ditemui ketika berkempen di Pasar Rakyat Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Semalam, Mohamad berkata, UMNO tetap akan meminta perdana menteri mengadakan PRU walaupun sekiranya Barisan Nasional tewas dalam PRN Johor.

“Bukan kalau menang, soalnya UMNO boleh desak atau tak Perdana Menteri (bubar Parlimen adakan PRU), jawapan saya boleh.. sama ada diguna pakai atau tidak itu terpulang kepada Perdana Menteri, ia tidak berasaskan menang atau tidak (PRN Johor),” katanya baru-baru ini.

Ditanya sama ada UMNO mampu mendesak Ismail membubarkan Parlimen secepat mungkin, Mohamad berkata, parti itu boleh desak dan sebagai pemimpin Perdana Menteri kena akur.

Sementara Zulkifli berkata, PN akan mengumumkan manifesto parti itu beberapa hari lagi.

Malah calon-calon PN juga akan mengangkat sumpah akujanji untuk menolak rasuah dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette.