Home Seni Hidup Dayang tak rancang pilih Amir

Dayang tak rancang pilih Amir

Foto Instagram Dayang Nurfaizah.

KUALA LUMPUR – Figura terkenal Dayang Nurfaizah antara penyanyi terbaik dalam negara kerana memiliki bakat besar dan kualiti vokal dimiliki Dayang meletakkan dirinya di kelas tersendiri. Kejayaan demi kejayaan yang diraihnya bukti kerja keras sepanjang pembabitan dalam dunia seni.

Tidak hairan jika nama Dayang, 41, atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty sering disebut dan menjadi pilihan kebanyakan penyanyi baru untuk berkolaborasi dengannya.

Malah, ia terbukti berjaya bukan sahaja dari sudut persembahan nyanyian tapi juga kualiti lagu yang dihasilkan.

Terbaharu, Dayang muncul dengan single duet berjudul Debu iaitu satu  kolaborasi dengan juara program Akademi Fantasia 2016 dan finalis AJL35, Amir Masdi.

Lagu bergenre balada moden itu adalah karya ciptaan sepenuhnya oleh Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam dan Acap Salim.

Menariknya, ia juga adalah kerjasama sulung antara dua syarikat rakaman tempatan ternama di Malaysia iaitu Nova Music dan Faithful Music yang mana lagu dan video muzik rasmi “Debu” dilancarkan serentak minggu lalu.

Menurut Dayang, duet bersama Amir berlaku secara kebetulan selain sudah lama mengagumi bakat anak muda itu ketika dia muncul di pentas ‘Big Stage’ musim ketiga, tahun lalu.

 

Dayang dan Amir.

“Boleh dikatakan ini duet yang tak dirancang pun. Sejujurnya, saya memang belum ada perancangan nak ada lagu duet lagi. Pendek kata, ini semua berlaku secara kebetulan. Pun begitu, apa boleh dikatakan dari segi persembahan lagu ia menjadi.

“Pada awalnya lagu itu diberi pada saya untuk lagu solo dan saya mendengar demo. Ketika itu, saya tanya siapa nyanyi demo. Saya cakap sedap pula, macam dah cantik untuk lagu itu.

“Saiful kemudian cadangkan bagaimana jika lagu ini dinyanyikan secara duet. Saya cakap apa salahnya cuba.

“Lagi pun sebelum mendengar demo, saya memang suka suara Amir masa saya tengok dia buat persembahan pada pentas Big Stage. Saya cakap pada diri, tunggu masa dan lebih pengalaman menyanyi, dia boleh maju, bertambah baik dan pergi jauh.

“Jadi, apabila cuba letak suara kami dalam lagu ini, saya cakap ia menjadi. Dari situlah terjadinya duet ini. Sebab itu saya kata ia berlaku secara kebetulan,” katanya.

Dayang berkata, tidak ada dalam kamus kerjayanya dia perlu memilih seseorang penyanyi untuk berduet dengannya. Malah, jauh sekali dia memandang populariti sebagai syarat jika ingin berduet dengan seseorang penyanyi lain dalam lagu.

“Dari segi populariti penyanyi itu bukan keutamaan. Bagi saya adalah suara, bakat dan lagu. Itu nombor satu. Macam Amir, dia pun secara perlahan-lahan membina kerjaya nyanyiannya. Dia muda dan jauh lagi perjalanan dalam bidang ini. Sebab kalau kita fikir siapa Amir, kira fikir bakat dan suara yang dimilikinya. Itu yang akan bawa dia jauh. Tak perlu nak cepat popular pun. 

“Macam saya pun, saya kenal dia dari suara dan bakat. Dia memang berbakat besar. Dia juga mengingatkan saya pada diri sendiri ketika mula-mula masuk dalam bidang nyanyian. Saya keluar semata-mata kerana bakat. Jadi, kalau betul cara dia, insya-Allah boleh kekal lama dan pergi lebih jauh. Paling penting, fokus apa yang kita ada,” katanya.

Foto Instagram Amir Masdi.

Sementara itu, Amir, 26, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi menyifatkan duet bersama Dayang dalam lagu “Debu” adalah mimpi menjadi kenyataan.

“Memang mimpi jadi kenyataan. Boleh kata, setiap kali ditanya dengan siapa artis wanita yang saya nak berduet, saya akan cakap Dayang Nurfaizah. Ini memang antara impian saya untuk berduet dan keluarkan lagu dengan Dayang. Bila dapat tahu akan berduet dengan Dayang dan saya nampak dia dalam studio, saya rasa teruja. 

“Dayang seorang yang sangat ‘humble. Apabila saya jumpa, dia kata yang dia segan dengan saya. Jadi dari situ, saya berasakan dia seorang yang sangat merendah diri untuk seorang yang sudah ada status serta nama yang besar dalam industri. Perkara itu membuatkan saya berasa terharu dan sangat dihargai. Dia tak kira yang saya ini orang baru atau tidak, dia tetap layan saya sama macam semua orang,” katanya.

Sementara itu, Debu yang diterbitkan secara usahasama oleh Nova Music dan Faithful Music; dan diedarkan Universal Music Malaysia boleh mula di strim di semua pelantar muzik digital dan ideo muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Faithful Music. – MalaysiaGazette