MELAKA – Dua lelaki termasuk seorang pengurus syarikat pengiklanan direman selama enam hari bagi membantu siasatan berkaitan rasuah terhadap pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi kesalahan mencuri bekalan elektrik yang dipercayai berkaitan aktiviti melombong Bitcoin secara haram.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh terhadap kedua-dua suspek berusia 33 dan 43 tahun sehingga 7 Mac depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira jam 9.30 pagi menaiki dua kenderaan berasingan.
Jurucakap SPRM negeri berkata, suspek yang bekerja sebagai pengurus syarikat dan penganggur itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di kediaman masing-masing pada jam 11.40 pagi dan 12.50 tengah hari, semalam.
Menurutnya, kedua-dua lelaki itu ditahan atas kesalahan mencuri bekalan elektrik dengan menggunakan peralatan khas atau penebat elektrik bagi tujuan mengurangkan bayaran elektrik bulanan.
Jelasnya, bekalan elektrik yang digunakan di premis tersebut dipercayai berkaitan dengan aktiviti sindiket melombong bitcoin secara haram membabitkan nilai jutaan ringgit.
“Hasil siasatan suspek dipercayai telah memberikan wang rasuah kepada pegawai TNB apabila pemeriksaan dijalankan mendapati ada sambungan wayar elektrik yang tidak sah di premis terlibat.
“Sambungan peralatan khas atau penebat elektrik itu adalah bagi tujuan mengurangkan bayaran elektrik bulanan,” katanya.
Tambah beliau, sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – MalaysiaGazette