KUALA LUMPUR – Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang dikenali Sajat terus mencuri tumpuan di media sosial apabila dia didakwa menghina Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi video Tiktok terbarunya.
Dalam tersebut, Sajjad telah mempersenda JAIS dengan mengatakan instistusi agama itu lambat dalam melaksanakan tindakan sehingga menyebabkan dia sempat melarikan diri ke Thailand.
Mengulas tindakan itu, Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, apa yang dilakukan Sajjad itu adalah sesuatu yang tidak mengejutkan.
Namun, apa yang lebih merisaukannya adalah anak-anak muda yang akan menonton video itu.
“Agar anak-anak muda tidak terlalu terpesona dengan paparan tersebut, saya coretkan sedikit beberapa pesanan.
“Dah lama ayat Quran sebut tentang perkara ini: Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman (Surah Al-Mutaffifîn: 29),” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya
Dr Rafidah menambah ayat tersebut menunjukkan sesungguhnya orang-orang yang berdosa adalah mereka yang terlebih dahulu mentertawakan orang lain.
Beliau juga sangat yakin para penguat kuasa JAIS, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah menjalankan tugas mereka.
“Saya yakin para pendakwah dan penguat kuasa dan lain-lain yang sentiasa berpesan dengan kebenaran dan menjalankan tugas mereka sudah lali dengan cemuhan-cemuhan ini. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara mereka.
“Saya lihat yang obses kepada JAIS kini adalah beliau. Tak lekang di fikiran,” katanya.
Dalam pada itu, Rafidah juga sempat berkongsi bahawa hanya doa ibu yang tidak putus-putus dapat menarik Sajjad kembali ke jalan yang benar berdasarkan pengalamannya yang pernah berjumpa dengan beberapa individu mak nyah yang berhijrah di Malaysia dan di Indonesia.
“Ketika ditemuramah, mereka percaya doa ibu yang tidak putus-putus mengajak mereka bertaubat itulah yang menjadi tali pengikat yang menarik mereka pulang ke jalan yang benar,” katanya. – MalaysiaGazette