Home Politik Beri saya peluang jadi suara rakyat – Norazila

Beri saya peluang jadi suara rakyat – Norazila

Calon Pakatan Harapan (PH) N.38 Penawar, Norazila Sanip sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 MARCH 2022.

DESARU – Calon Pakatan Harapan (PH), Norazila Sanip berkata, beliau mendapat sambutan baik daripada pengundi dan penduduk setempat pada hari keempat kempen untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N38 Penawar.

Walaupun sambutan daripada penduduk setempat tidak memuaskan pada hari pertama dan kedua, situasi tersebut berubah apabila Norazilah membuat sesi walkabout untuk berkempen di sekitar Taman Desaru Utama, Johor, hari ini.

“Selain daripada walkabout di kedai-kedai berhampiran, kami juga ada berkempen dari rumah ke rumah untuk saya promosikan diri saya sebagai calon  parti PH yang bertanding untuk kerusi Penawar” katanya kepada wartawan MalaysiaGazette.

“Kami juga mengadakan sesi berkempen dalam talian seperti di Facebook Live, dan juga mesyuarat-mesyuarat perkenalkan calon melalui internet” tambahnya lagi.

Semasa walkabout dijalankan, calon tersebut turut mengedarkan fliers tanpa halangan atau provokasi daripada mana-mana parti lain yang bertanding untuk kerusi berkenaan.

Meskipun parti-parti lain sudah meriah menaikkan bendera dan poster di sini, PH masih lagi dalam usaha menyusun strategi yang lebih rancak lagi untuk berkempen dan mencuri perhatian pengundi tempatan, kata Norazila.

“Usaha ini akan terus dilipatgandakan sehingga ke hari mengundi,” tambahnya yang mengakui Penawar adalah kubu kuat BN.

Menurutnya, hanya pelaksanaan prosedur operasi standard Covid-19 yang ketat menjadi kekangannya untuk berkempen dalam suasana meriah.

Norazila berkata, bertanding empat penjuru ini bukanlah halangan buatnya kerana hasratnya untuk menjadi suara nadi rakyat membakar semangatnya untuk terus berjuang.

“Saya sudah bersedia bertanding dan merayu kepada pengundi-pengundi N38 untuk mengundi saya dan memberi peluang kepada saya menjadi suara rakyat yang akan mengetengahkan masalah-masalah kawasan setempat,” ujarnya.– MalaysiaGazette.