KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen dari Pas, Ahmad Fadhli Shaari cuba menjadi jaguh dalam Dewan Rakyat petang ini, dengan mendesak kerajaan supaya membenarkan pengeluaran RM10,000 untuk kali terakhir menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Tanpa menyebut usaha itu asalnya daripada UMNO, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) itu mendakwa, pengeluaran wang dari KWSP itu amat penting kerana melibatkan periuk nasi rakyat.
“Saya menerima memorandum daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang telah memberikan memorandum kepada saya mewakili puluhan ribu rakyat menuntut supaya pengeluaran KWSP RM10,000 untuk kali terakhir ini dapat dibenarkan.
“Pengeluaran ini adalah talian hayat terakhir untuk rakyat supaya kerajaan dapat mempertimbangkan terutama selepas bencana banjir dan Covid-19, rakyat mula bertatih untuk membina ekonomi mereka.
“Yang tak berniaga selama dua tahun, mereka sudahpun hilang modal nak beli khemah semula, nak beli bekas air, nak susun perniagaan kecil-kecilan, kita beri kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perbahasan ucapan terima kasih atas Titah Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Pertama, Penggal kelima Parlimen Keempat Belas 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Ahmad Fadhli, beliau faham KWSP adalah untuk simpanan hari tua, tetapi rakyat bercakap mengenai hari ini, begitu juga simpanan itu untuk 10 atau 20 tahun akan datang, tetapi rakyat perlu makanan untuk malam ini.
Beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh membawa isu itu dalam mesyuarat Kabinet.
“Saya sebut hal ini kerana ada yang menyatakan bahawa Perdana Menteri telah membawa isu ini dalam Kabinet, tetapi telah dibantah oleh sebahagian menteri dan akhirnya ia tidak dapat dikeluarkan.
“Secara peribadi, saya tidak yakin benarkah demikian, kerana sudah tentu kita tidak tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet.
“Betulkah Perdana Menteri telah bawa isu ini dalam Kabinet dan dibantah oleh menteri? Kalau betul, saya kira ini perkembangan yang sangat menyedihkan dan tidak wajar,” katanya.
Kata Ahmad Fadhli, Perdana Menteri tidak boleh diletak sampai ke tahap selemah itu apabila keputusannya dibantah.
Tegas beliau, perbuatan itu satu perkembangan yang tidak baik untuk persepsi rakyat kepada kekuatan kerajaan hari ini.
“Tak kira sama ada PM tak bawa atau belum. Saya kira Ahli-ahli Parlimen yang ada hari ini boleh bersama dengan tuntutan rakyat ini untuk membenarkan tuntutan KWSP.
“Saya juga menyeru kepada menteri berilah sokongan kepada tuntutan ini walaupun mungkin ianya membawa satu kesan yang agak besar, tetapi dengan menyuntik sedikit kekuatan ekonomi kepada rakyat, mereka boleh berbelanja,” katanya. – MalaysiaGazette