Home PRN Johor Ikhtiar BN Johor tumpu lima fokus, bukan sekadar janji

Ikhtiar BN Johor tumpu lima fokus, bukan sekadar janji

Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) bersama Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad menunjukkan Manifesto Ikhtiar BN Johor sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor melancarkan Ikhtiar BN Johor sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) itu dengan memberi tumpuan kepada lima fokus utama.

Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad berkata, fokus tersebut adalah kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, orang muda Johor (OMJ), pentadbiran berintegriti dan reformasi politik.

Beliau berkata, BN Johor mempunyai satu matlamat yang mana parti itu mahu memakmurkan negeri yang didukung oleh naratif politik baharu yang matang dan stabil.

“Matlamat ini, kita percaya akan disokong oleh lima Ikhtiar Barisan Nasional.

“Ikhtiar dan inisiatif utama yang telah saya sebutkan secara ringkas tadi merupakan ikhtiar dan inisiatif yang realis.

“Kita tidak berjanji. Kita berikhtiar. Dan ikhtiar-ikhtiar kita akan terus dikembang dan diperkasakan semata-mata untuk kemakmuran Johor Darul Takzim,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Ikhtiar BN Johor di sini hari ini.

Ikhtiar tersebut dilancarkan oleh Pengarah Pilihan Raya Johor yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hasni memberitahu, dalam tempoh lima tahun akan datang, BN akan mengembalikan kehebatan ekonomi negeri yang pernah menjadi penyumbang tertinggi kepada keseluruhan pelaburan Malaysia.

Jelas beliau, ketidakstabilan politik dan pandemik ketika ini telah membantutkan kemajuan dan prestasi ekonomi negeri yang dahulu pernah disegani.

Oleh itu tambahnya, melalui Johor Berdaya Saing, BN Johor akan melaksanakan sembilan inisiatif.

Kesemua sembilan inisiatif tersebut bakal melonjakkan ekonomi negeri Johor antaranya dalam bentuk fasilitasi pelaburan dan pembangunan sosio-ekonomi daerah mengikut kearifan serta potensi tempatan.

“Umum mengetahui bahawa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) amat terkesan dengan pandemik Covid-19 di mana golongan di negeri inio tidak terkecuali.

“Mereka memerlukan tujahan dana dan pelbagai sokongan untuk meneruskan perusahaan.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, BN Johor melalui Johor Niaga akan melaksanakan tiga inisiatif utama di mana salah satu daripadanya adalah pinjaman tanpa faedah RM100 juta Bank Rakyat dan pelbagai bantuan kewangan tahunan,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac depan.

Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi pada PRN itu.

Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 22,531 orang merupakan pengundi awal membabitkan 10,955 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,576 pula anggota polis dan 376 pengundi tidak hadir luar negara. – MalaysiaGazette