PENGERANG – Pertandingan empat penjuru kerusi N39 Tanjung Surat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan penghalang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi itu sebagai kubu kuat.
Sebaliknya, tiga pencabar yang mahu berebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat itu dilihat sebagai persaingan sihat, lebih-lebih lagi kesemua empat parti yang bertanding diwakili calon Melayu.
Calon BN untuk DUN Tanjong Surat, Aznan Tamin berkata, beliau berharap pengundi dapat membuat pilihan tepat dan tidak terkeliru dengan calon Melayu yang diketengahkan parti lawan.
“Ini adalah kali pertama di DUN Tanjong Surat, kita bertanding sebanyak empat penjuru, dalam sejarah selama ini bertanding satu lawan satu.
“Pertandingan empat penjuru ini adalah parti-parti daripada bangsa Melayu dan keempat-empatnya adalah calon Melayu.
“Pertandingan ini akan jadi persaingan sihat dan saya lihat akan berlaku pemecahan undi di DUN Tanjung Surat dan saya harap pengundi ada pilihan terbaik untuk memilih pemimpin mereka,” katanya kepada pemberita di Kampung Pasir Gogok, di sini, hari ini.
PRN Johor menyaksikan pertembungan empat penjuru di 42 daripada 56 kerusi DUN selepas BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan calon masing-masing pada 25 Februari lalu.
Dalam pada itu, Aznan mengakui hanya beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang belum sempat beliau santuni meskipun kempen sudah memasuki hari ketiga, hari ini.
“Alhamdulillah kempen bergerak dengan lancar dan kita menggerakkan semua PDM, dalam tempoh tiga hari ini saya hanya tinggal satu dua PDM sahaja lagi belum saya jelajah dan kita akan buat jelajah seterusnya.
“Cuma kita lebih kepada mengenalkan calon dan berada di setiap bilik-bilik jentera kita dan Insya-Allah selepas ini kita akan turun ke padang bersama-sama dengan pengundi-pengundi saya,” katanya.
Ditanya tentang penerimaan pengundi sepanjang kempen tiga hari ini, beliau tidak menafikan masyarakat DUN Tanjong Surat khususnya komuniti Felda tidak sabar melihat wakil rakyat muda untuk membawa pembangunan.
“Alhamdulillah kerana saya ini adalah calon baharu bagi BN, mereka mahu melihat pembaharuan dibawa ke DUN Tanjung Surat, mereka mohon kepada saya supaya buat sesuatu yang terbaik di kawasan ini,” ujarnya.
Tambahnya, meskipun dicabar tiga parti politik lain, namun beliau yakin bahawa hanya BN mampu menjaga kebajikan rakyat berbanding pemerintah sebelum termasuk PH dan PN yang gagal mentadbir negara dan negeri.
“Kesinambungan yang kita ada sebelum ini aktiviti dan bantuan yang dilakukan akan diteruskan, BN merupakan parti yang menjaga kebajikan rakyat.
“Kita sentiasa dekati rakyat dan kita bersama anak muda, malah saya sendiri pengerusi belia, orang muda lebih dekat dengan saya dan harapan saya anak muda bersama dengan saya
“Saya harap pengundi di DUN Tanjung Surat ini berfikir dengan rasional dan bijak,” katanya. – MalaysiaGazette