JOHOR BAHRU – Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor komited untuk melaksanakan pentadbiran berintegriti yang menjadi inisiatif utama bagi memastikan integriti dan kebertanggungjawaban kerajaan negeri dapat dibudayakan secara serius.
Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, antara inisiatif itu adalah setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu jelas beliau, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan diwujudkan untuk ADUN, Pegawai Utama Kerajaan Negeri dan Ketua Kampung yang mana pelaporan secara berkala akan dilaksanakan kepada rakyat sekerap mungkin.
“BN Johor akan terus memupuk naratif politik baharu yang matang bagi menjamin kestabilan masa depan rakyat dan negeri.
“Atas prinsip tersebut, BN Johor akan memperkenalkan enam inisiatif utama dan meneruskan inisiatif Reformasi Politik yang telah dilaksanakan.
“Antaranya adalah meneruskan peruntukan tahunan RM200,000 untuk ADUN Kerajaan dan pembangkang dengan sama rata.
“Selain itu, bagi memperkasa peranan demokrasi, dengan mandat dua pertiga persempadanan semula akan dilaksanakan bagi kawasan DUN yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Ikhtiar BN Johor di sini hari ini.
Ikhtiar tersebut dilancarkan oleh Pengarah Pilihan Raya Johor yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menambah, dalam tempoh lima tahun akan, mobiliti rakyat akan lebih lancar dan ekonomi Johor akan semakin berkembang yang disokong oleh infrastruktur awam negeri yang terangkum dan moden.
Jelas beliau, untuk mencapai hasrat tersebut, empat inisiatif akan dilaksanakan BN Johor antaranya adalah akan mengintegrasikan Bus Rapid Transit (BRT), Rapid Transit System (RTS) dan Light Rail Transit (LRT) di bawah satu sistem pengangkutan yang tersusun dan dinamik.
“Kita semua sedia tahu bahawa isu perumahan di Johor memerlukan penyelesaian yang menyeluruh. Selain daripada meneruskan inisiatif yang sedia ada, tadbir urus Perumahan Johor akan diperkukuhkan lagi dengan dua inisiatif utama.
“Salah satu daripadanya adalah penubuhan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor atau Johor Housing Board di mana perbadanan ini merupakan yang pertama kali diwujudkan, khusus bagi memberikan penyelesaian jangka masa panjang berkaitan Perumahan Johor berteraskan data dan keperluan semasa,” katanya. – MalaysiaGazette