PENGERANG – Sambutan pengundi di kerusi N39 Tanjong Surat terhadap calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rosman Tahir dilihat lebih hambar berbanding Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Perkara itu diakui sendiri calon Barisan Nasional (BN), Aznan Tamin susulan tiada pimpinan tertinggi parti lawan yang turun membantu calon mereka meskipun sudah masuk hari ketiga kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Sambutan pengundi terhadap calon PH agak gambar, saya fikir pengundi muda mula sedar akan janji-janji palsu PH.
“Akhirnya mereka sudah kembali kepada kerajaan sebenar, cuma mereka ada beberapa pilihan di peringkat kita seperti BN dan PN,” katanya kepada pemberita di Kampung Pasir Gogok, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyantuni jentera dan akar umbi BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Lepau dan Bilik Gerakan Felda Adela selepas bersarapan bersama pengundi di sekitar DUN Tanjong Surat.
Dalam pada itu, meskipun DUN Tanjong Surat dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, namun kepimpinan parti itu membiar kawasan itu disantuni dan dibantu pada PRN Johor kali ini.
“Alhamdulillah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah turun bersama saya ada hari kedua kempen.
“Mungkin ketika ini pemimpin atasan memberi fokus kepada kawasan-kawasan sangat sengit dan Insya-Allah ada juga pemimpin atasan yang hadir di kawasan kita
“Harapan saya kehadiran mereka ini dapat membantu dari segi kempen BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette