Home Nasional Ibu bapa di Johor teruja dapatkan vaksin untuk anak

Ibu bapa di Johor teruja dapatkan vaksin untuk anak

Botol suntikan vaksin Covid-19 yang akan diberi kepada kanak-kanak sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak PICKids.- Gambar hiasan.

KLUANG – Rata-rata ibu bapa mahu anak-anak mereka dilindungi daripada Covid-19 dan tidak melepaskan peluang membawa mereka untuk divaksin terutama dalam keadaan penularan varian Omicron.

Malah rata-rata mereka akur berhubung suntikan vaksin Covid-19 dos pertama pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) dan semakin ramai menyokong anak-anak mereka divaksin pada masa ini.

Tinjauan MalaysiaGazette Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom Kluang di sini mendapati ramai ibu bapa positif tentang suntikan imunisasi untuk anak-anak mereka.

Nuramalina Azali

Menurut Nuramalina Azali, pengalaman kesemua ahli keluarganya dijangkiti Covid-19 baru-baru ini menyebabkannya dan suami mahu anak kecil mereka yang berusia lima tahun itu segera divaksin.

Malah cakap-cakap dan teori segelintir pihak kononnya kesan sampingan suntikan itu merbahaya terhadap kanak-kanak dianggapnya tidak relevan kerana tidak banyak pilihan diberikan jika enggan vaksin.

“Sebenarnya buat masa ini, vaksinasi adalah ikhtiar paling efektif untuk perlindungan daripada Covid-19 bagi semua golongan termasuk kanak-kanak.

“Malah kajian juga menunjukkan ia efektif dan selamat untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun. Teori ada pihak itu kita terpaksa juga letak tepi bila memikirkan tentang pilihan dan keselamatan anak-anak kita.

“Setakat ini, vaksin ini adalah salah satu cara pencegahan, saya harap lebih ramai ibu bapa akan tampil untuk vaksin anak-anak mereka, kita sedang tinggal di satu persekitaran yang sudah ada keperluan untuk juga vaksin anak-anak kita.

“Saya syor lebih ramai tampil selepas ini untuk vaksin, anak saya ini autisme, saya sendiri beranikan diri bawa untuk divaksin apatah lagi seluruh keluarga kami kini semuanya sudah lengkap dua dos vaksin serta penggalak,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jennifer Chin

Bagi Jennifer Chin pula, dia menghadapi kesukaran untuk menghantar satu-satunya anak lelaki mereka ke tadika kerana belum divaksin lagi.

“Sampai bila hendak tunggu atau biar anak duduk rumah tidak ke sekolah? Walaupun masih kecil kita sudah perlu hantar mereka belajar, persekitaran agak tidak selamat jika tidak vaksin.

“Apabila ada peluang pastilah kami akan guna peluang ini untuk vaksin anak-anak kita. Selain ke sekolah, kita juga bawa mereka keluar seperti tempat awam contohnya pusat beli belah, taman permainan dan sebagainya.

“Saya risaukan keselamatan dirinya lagi-lagi jika dia dijangkiti virus ini, jadi memang sudah jadi satu kewajipan untuk saya bawanya ke sini untuk divaksin.

“Jangan ambil risiko, suntik anak-anak anda dengan cepat bagi elak perkara-perkara yang kita tidak ingin sebenarnya. Virus ini benar dan wujud, jangan biar ianya dekati anak-anak kita,” ujarnya.

Norhazliana Hashim

Bagi Norhazliana Hashim, beliau merasakan sikap acuh tidak acuh atau bimbang untuk mengambil vaksin untuk anak-anak sangat merbahaya.

“Lagi bahaya jika anak-anak tidak ambil vaksin, jangan biar ada komplikasi lain pula,” tegasnya.

Baru-baru ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan vaksinasi kepada kanak-kanak telah mencapai 25 peratus atau lebih 103,000 kanak-kanak melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Johor.

Katanya, peratusan itu melebihi peratusan di peringkat nasional iaitu 23 peratus.

Kementerian Kesihatan sebelum ini menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan, dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal Febuari 2022, dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan kemudian. – MalaysiaGazette