Home Politik Covid mudah sembuh, PH gesa ceramah PRN Johor dipanjangkan 11 malam

Covid mudah sembuh, PH gesa ceramah PRN Johor dipanjangkan 11 malam

Mohamad Sabu

JOHOR BAHRU –  Pakatan Harapan telah meminta kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tempoh ceramah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang tamat pada pukul 10 malam dipanjangkan sehingga pukul 11 malam.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, beliau bersama-sama dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah membuat permintaan tersebut kepada Ismail Sabri di Parlimen semalam.

“Dalam perjumpaan itu disebut oleh Lim Guan Eng supaya ceramah ini dilongarkan sedikit boleh dibuat seperti ini (ceramah secara terbuka). Dan saya kata kenapa pukul 10 malam biarlah tamat pukul 11 malam.

“Perdana Menteri kata ‘kalau ikut saya biar sampai pukul 12 malam’. Saya kata buatlah arahan. Jangan bercakap di sini. Dia kata apa beza Covid pukul 10 malam dengan Covid pukul 12 malam.

Saya yang minta sampai pukul 11 malam. Ini dia cakap tadi wallahi depan kami tiga orang. Dia cakap apa masalah pukul 10 malam dengan pukul 11 malam,” kata Mohamad dalam ceramah perdana PH dan Muda di sini malam tadi.

Ceramah tersebut berlangsung di hadapan Pusat Khidmat DUN Amanah Kota Iskandar, Taman Mutiara Rini.

Turut hadir calon DAP DUN Perling dan calon MUDA DUN Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz.

Tambah Mohamad, pihaknya menyedari varian Covid yang ada mudah menjangkiti namun varian itu juga mudah untuk ‘hilang’ jika dirawat segera.

“Covid ada, adalah dan kita sebut Singapura telah bebaskan, UK telah bebaskan. Semua ikut dan patuh ikut SOP dan sebagainya.

“Sebab sekarang ini Covid baru ini memang mudah kena tapi mudah hilang kalau kita cepat bertindak. Bererti kita mengasingkan diri, cepat ke hospital, cepat membuat rawatan-rawatan yang disyorkan oleh pihak doktor.

“Ataupun ubat tradisi ataupun perubatan moden. Semuanya boleh pakai hadapi Covid ini,” katanya.

Mohamd mendakwa, Ismail Sabri akan membincangkan permintaan tersebut dalam mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung pada Jumaat ini.

Bagaimanapun beliau berhadap agar saranan itu dapat dilaksanakan dengan segera.

“Mesyuarat Kabinet hari Jumaat. Lambat lagi patut dia sebagai perdana menteri dia boleh buat arahan.

“Itu dia kata boleh sampai pukul 12 tengah malam. Tapi arahan itu hanya kepada kami tiga pemimpin tapi menteri-menteri dan pegawai kerajaan belum diarahkan lagi,” katanya.

Prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor membenarkan penganjuran ceramah, syarahan atau kempen secara fizikal sehingga pukul 10 malam sahaja.

Aktiviti berkenaan hanya dibenarkan diadakan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan jumlah kehadiran tidak boleh melebihi 100 orang.- MalaysiaGazette