Home Nasional Semua calon SPM Melaka duduki peperiksaan – Rais Yasin

Semua calon SPM Melaka duduki peperiksaan – Rais Yasin

Calon Sijil Pelajaran Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil melakukan ulang kaji sebelum memasuki dewan peperiksaan.

MELAKA – Semua 13,134 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Melaka menduduki peperiksaan bertulis itu hari ini, sekaligus menyaksikan tiada pelajar yang tercicir akibat positif atau kuarantin akibat Covid-19.

Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, ia melibatkan 11,352 calon daripada sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Selain itu, katanya 711 adalah calon daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah agama negeri (28), calon sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (181) dam calon persendirian seramai 862 orang.

Datuk Rais Yasin

“Daripada jumlah tersebut, 72 orang adalah calon berkeperluan khas yang mengalami cacat fizikal yang menduduki peperiksaan SPM 2021 di semua 102 pusat peperiksaan negeri.

“Ini sekaligus menyaksikan semua calon SPM yang tinggal di asrama dan sekolah kesemuanya dapat duduki SPM 2021 hari ini kerana setakat ini tiada lagi calon SPM di sekolah berkenaan positif Covid-19 atau dikuarantin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia yang juga Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam dan Pengetua SMK Bukit Katil, Zaiha Ahmad.

Mengulas lanjut Rais berkata, tiada penutupan pusat peperiksaan SPM yang berjumlah 102 buah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan akibat Covid-19.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil berkumpul sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Semua pusat peperiksaan ini boleh beroperasi seperti biasa bermula hari pertama peperiksaan hari ini sehingga 29 Mac ini selepas ia disahkan selamat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka atau Pusat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya. – MalaysiaGazette