KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan agihan dividen simpanan konvensional sebanyak 6.10% dan syariah 5.65% bagi tahun kewangan 2021.
Prestasi itu mengatasi agihan tahun 2020 sebanyak 5.20% bagi simpanan konvensional dan 4.90% Syariah bagi tahun 2020.
Malah, agihan tersebut juga lebih baik berbanding pra-pandemik sebanyak 5.45% bagi simpanan konvensional dan 5% syariah pada tahun 2019.
KWSP memperuntuhkan sebanyak RM50.45 bilion bagi agihan simpanan konvensional manakala untuk simpanan syariah RM6.27 bilion, menjadikan jumlah agihan terkumpul untuk 2021 sebanyak RM56.72 bilion.
Untuk 2021, KWSP telah mengimbangi semula dan mengurus portfolio pelaburannya dengan membeli saham yang kukuh pada harga yang menarik, selain memanfaatkan pelaburan luar negara, yang menyumbang 56% kepada pulangan keseluruhan.
Setakat 31 Disember 2021, KWSP telah mencatatkan peningkatan 6% dalam jumlah pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion daripada RM63.45 bilion pada 2020, didorong oleh pemulihan pasaran ekuiti dan sebahagian besar kelas aset semasa pemulihan global.
Pada 2021, KWSP telah mencatatkan caruman bersih negatif (caruman setelah mengambil kira pengeluaran) untuk pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun sebanyak RM58.2 bilion, namun ia tetap teguh dan berhemat dalam strategi pelaburan jangka panjangnya, selain menyesuaikan diri terhadap cabaran dalam memastikan pulangan mampan jangka panjang.
KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, yang mana RM6.91 bilion telah diperuntukkan kepada simpanan syariah.
Prestasi yang membanggakan ini adalah hasil pendekatan kepelbagaian portfolio yang berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), yang telah memastikan KWSP bertahan terhadap kejutan kewangan serta kekal stabil dalam situasi yang tidak dijangka.
Berdasarkan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 45% daripada pelaburan, manakala ekuiti 44%.
Hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing adalah 6% dan 5%.
Pemulihan pasaran yang berterusan sepanjang tahun 2021, terutamanya dalam pasaran maju, telah menyumbang kepada portfolio ekuiti tersenarai KWSP dan menyediakan peluang kepada dana persaraan ini untuk merealisasikan keuntungan.
Ekuiti, khususnya ekuiti tersenarai luar negara yang merekodkan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 10.44%, terus menjadi penyumbang pulangan utama.
Jumlah pendapatan bagi kelas aset ekuiti adalah sebanyak RM38.93 bilion, atau 58% daripada keseluruhan pendapatan kasar KWSP.
Portfolio ekuiti persendirian juga menunjukkan prestasi yang baik, merekodkan pulangan pelaburan sebanyak 19.01%.
Untuk kesihatan jangka panjang, KWSP mengambil langkah berhemat untuk turun nilai kos sebanyak RM1.15 bilion daripada portfolio ekuiti tersenarai pada
2021, lebih rendah daripada RM7.71 bilion turun nilai kos yang dicatatkan pada 2020, selaras dengan pemulihan dalam pasaran ekuiti.
Dengan hampir separuh jumlah peruntukan aset KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap, merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta Pinjaman dan Bon, KWSP dapat mengekalkan pulangan yang stabil.
Pendapatan daripada portfolio tersebut menyumbang sebanyak RM19.50 bilion, atau 29% daripada jumlah pendapatan kasar KWSP.
Pendapatan portfolio Hartanah dan Infrastruktur sebanyak RM7.69 bilion terus memainkan peranan sebagai pelindung nilai terhadap inflasi dengan pulangan pelaburan sebanyak 6.53%.
Ini adalah 1.84% melebihi pulangan pelaburan instrumen pendapatan tetap sebanyak 4.69%, manakala pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang merekodkan RM0.94 bilion.
Aset luar negara KWSP merupakan penyumbang kritikal kepada prestasi keseluruhan, yang mana kepelbagaian kelas aset, pasaran, dan mata wang memberikan kestabilan kepada pendapatan dan nilai tambah kepada keseluruhan pulangan KWSP.
Setakat Disember 2021, sekitar 37% daripada aset pelaburan KWSP adalah di luar Malaysia dan merentasi pelbagai kelas aset.
Keseluruhan aset pelaburan meningkat 0.8% kepada RM1.01 trilion daripada RM1.00 trilion pada 2020. Jumlah keahlian setakat Disember 2021 meningkat sebanyak 2% kepada 15.2 juta, manakala majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah berjumlah 553,000.
Dengan purata dividen sebenar tiga tahun selepas pelarasan terhadap inflasi sebanyak 4.91% untuk simpanan konvensional, dan 4.51% untuk simpanan Syariah, KWSP telah melangkaui sasaran strategiknya untuk mengisytiharkan purata dividen sebenar sekurang-kurangnya 2.00% dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.
Pengagihan dividen bagi setiap simpanan diperolehi daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai, kerugian tidak nyata yang disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang asing dan harga instrumen derivatif, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.
Menangani cabaran untuk pulangan yang mampan dan kesejahteraan persaraan KWSP percaya dengan pembukaan semula ekonomi dan perniagaan, serta pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara, akan menyediakan landasan yang baik untuk ia meningkatkan kecekapan pelaburan dan memanfaatkan peluang daripada inisiatif pemulihan.
Untuk itu, KWSP akan meningkatkan pelaburannya ke dalam pelbagai kelas aset domestik pada tahun 2022.
Sebagai pelabur utama dalam pasaran kewangan Malaysia, ini juga akan membantu memangkin aktiviti ekonomi dan pemulihan ekonomi yang berterusan.
Data dalaman KWSP menunjukkan bahawa pasaran kerja telah kembali pulih, dengan data caruman, pendaftaran ahli, dan majikan aktif kesemuanya kembali ke tahap pra-pandemik pada suku keempat 2021.
Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa serta kadar vaksinasi antara yang terbaik di dunia, Malaysia bakal membangun semula pada tahun 2022.
Pengkreditan dividen untuk simpanan konvensional dan simpanan syariah akan dilaksanakan 6 Mac 2022.
Ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata dari kiosk KWSP di seluruh negara. – MalaysiaGazette