KUALA TERENGGANU – Operasi Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir dekat Hulu Terengganu ditutup sementara bermula Ahad lepas berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari SJSM kepada Grid Nasional tumbang akibat kejadian tanah runtuh.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Baharin Din berkata, hujan lebat luar biasa yang berterusan sejak Jumaat lepas telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang memutuskan akses jalan keluar-masuk ke SJSM pada 4 pagi Ahad.
“Aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen itu seterusnya mengalir ke Sungai Terengganu. Enam jam kemudian, berlaku satu lagi tanah runtuh yang menyebab sebuah jambatan serta menara penghantaran 132kV runtuh.
“Susulan itu, TNB segera menghentikan operasi SJSM dan mengeluarkan semua warga kerja SJSM dari stesen itu dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, TNB telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Bisnesnya (pelan tindakan kecemasan) sebaik kejadian tanah runtuh itu berlaku bagi mengambil tindakan serta-merta untuk menangani situasi tersebut, termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain di TNB.
“Langkah lain yang diambil antaranya melibatkan penilaian impak kejadian kepada struktur empangan dan pelaksanaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM. Penilaian awal mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat dan keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat.
“TNB juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun selain mendapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan,” katanya.
TNB menjangka kerja baik pulih ini akan mengambil masa hampir enam bulan kerana ia juga merangkumi kerja-kerja membersihkan semua halangan dan kelodak banjir, meminimumkan kesan hakisan dan mengelak kemungkinan hakisan lanjut serta selenggaraan pada peralatan dan aset-aset penjanaan.
“Langkah-langkah wajar bagi memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal juga telah diambil.
“Sepanjang penutupan sementara SJSM dengan kapasiti 400 megawatt ini, TNB memberi jaminan bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur tidak akan terjejas kerana ia boleh ditampung melalui sumber penjanaan lain yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional,” katanya. – BERNAMA